Virus-Virus Ukhwah (Part 1) – Ukhwah yang rosak?
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
Disclaimer:
Saya hanya sekadar menghuraikan secara ringkas tentang buku Virus-Virus Ukhwah
ini dan juga bercerita tentang realiti sekarang, jika ingin mengetahui lebih
mendalam tentang isi kandungan buku ini bolehlah membacanya dan ada versi pdf
nya di internet.
Antara buku atau kitab terawal yang
perlu diterokai oleh setiap individu
dalam kita melayari perjalanan tarbiyah (seperti usrah) ini adalah buku
berkenaan tentang ukhwah. Kenapa ukhwah? Jika kita telosori kembali sirah Nabi
SAW dalam menyebarkan Islam, Rasulullah sebenarnya bermula dengan menyebarkan
cinta sesama mukmin (ukhwah). Saling mencintai antara mukmin ini jelas telah
Allah tunjukkan dalam ayat-ayatNya;
“Sesungguhnya
orang-orang Mukmin itu bersaudara” (Al-Hujurat:10)
Dan tahukah kita bahawa hanyalah Dialah
yang mampu mempersatukan hati kita walaupun dahulunya kita bergaduh tetapi kini
kita bersatu hati atau walaupun dahulu kita rapat sentiasa bersama tetapi kini
bermasam muka tanpa bicara. Sedarlah sahabatku, andai kita berhabis duit, harta
beribu riban untuk mendapatkan ‘ukhwah’ pun belum tentu kita akan dapat kerana
hanya Dia yang berkuasa menyatukan hati-hati kita dan sebaliknya;
"Dan
ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah)
bermusuh-musuhan,
maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat itu,
sebagai orang-orang yang bersaudara" (Ali 'Imran [3]: 103).
"Dia-lah
(Allah) yang memperkuat dirimu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang orang Mukmin.
Dan Dia Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang Mukmin). Walaupun kamu
membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat
mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka"
(al-Anfal [8]: 62-63).
Tetapi hendaklah kita tahu bahawa kesatuan
ini hanya akan terjalin kukuh andai tujuannya betul iaitu Lillahi Taala. Batu
asas dalam pembangunan ukhwah ialah iman dan aqidah Islamiyyah. ‘Ukhwah’ selain
dari itu seperti kawan untuk ketawa, menangis,harta, pangkat dan semua jenis
kenikmatan dunia hanyalah bersifat sementara dan akan pudar. Jadi muhasabah
kembali diri kita bahawa ‘ukhwah’ yang kita asaskan bersama sahabat baik kita
sekarang ini bertunjangkan apa?
Jika benar matlamatnya adalah syurga dan
niatnya semata-mata kerana Allah SWT, Alhamdulillah…
Tetapi harus diingat, walaupun niatNya
kerana Allah tetapi tetap yang mengemudinya adalah manusia dan kita mengetahui
bahawa manusia ini bersifat lemah dan pasti membuat khilaf. Ukhwah yang sudah
lama terjalin pasti kadang-kadang mengundang ‘kebiasaan’ kepada kita. Dari situ
kita akan mula lupa bagaimana untuk mengambil hatinya, bagaimana untuk
mencintainya, bagaimana untuk berbicara dengannya dan sebagainya. Itu adalah
perkara lumrah kerana manusia ini bersifat pelupa. Jadi sebagai panduan, Nabi
SAW sudah memberi banyak gambaran bagaimana untuk menjalinkan ukhwah yang
diredhai dan saling mencintai. Makna kata, selain dari mengetahui kemanisan
ukhwah, kita juga perlu tahu virus-virus ‘ukhwah’ yang mampu merosakkan
sesebuah hubungan cinta antara mukmin. Virus-virus ini saya petik dari sebuah
buku ‘wajib baca’ buat para daie dan harus baca kepada semua bagi mendalami
lebih lanjut lagi ukhwah yang dianjurkan oleh junjungan besar kita, Rasulullah
SAW =)
‘Kuasa’
Sahabat
Insan yang bergelar sahabat ini mempunyai
kuasa yang sangat menakjubkan sehingga kita memang akan terpengaruh olehnya.
Terlalu banyak kata-kata pujangga daripada para sahabiah , tabi’ dan tabi’in
tentang sahabat ini. Antaranya;
“Jika
saya bertemu dengan salah seorang sahabat dekat , lalu tinggal bersama satu
bulan bersamanya, tentu aku akan bertambah pandai kerana pertemuan itu”
“Gaulilah orang-orang yang baik jika dikau ingin bersahabat
“Gaulilah orang-orang yang baik jika dikau ingin bersahabat
ketahuilah,saudara
yang membela itulah saudaramu
betapa
banyak yang menjadi saudara
padahal
mereka tidak terlahir dari orang tuamu
namun
orang tua mereka seakan-akan orang tuamu”
Sahabat mempunyai daya pengaruh yang sangat
kuat sebab itulah penting untuk kita mencari sahabat yang akan membantu kita
mencapai redha Allah. Kerana sebab inilah syaitan yang tidak pernah berputus
asa untuk menyesatkan manusia akan cuba merosakkan ukhwah hanya dengan
mempengaruhi sahabat bagi merosakkan ukhwah yang sedia ada. Syaitan akan mula
menghasut tentang ketidaksempurnaan sahabat itu dan ini, kesilapan sahabat itu
dan ini terhadapmu, mengungkit kesalahan yang pernah sahabat itu perbuat
terhadapmu semata-mata untuk menerbitkan rasa benci di benakmu terhadap
sahabatmu.
Itulah tugas syaitan, yang lebih parah lagi
apabila ada yang membenci sahabat ini maka diceritakan ketidaksempurnaannya,
keburukannya terhadapmu kepada sahabat yang lain. Kita sering kali merasa
bahawa kita sebenarnya sedang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang
sahabat kepada sahabat karib kita tetapi sebenarnya kita sedang menyebarkan
‘rupa sebenar’ sahabat yang kita tidak suka itu kepada sahabat-sahabat yang
lain. Ingat, sahabat ini mempunyai kuasa mempengaruhi yang amat dasyat jadi
sahabat-sahabat yang lain yang mempercayaimu kerana cintakanmu dan yakin kamu
teraniaya pasti akan memandang sahabat yang kamu tidak suka itu sebagai insan
yang tidak baik dan patut dijauhi. Ini realiti dan malangnya ini terjadi bukan
di tahap orang-orang biasa sahaja malah turut terjadi dikalangan pendakwah yang
tegar berkata menyebarkan Islam tetapi sebenarnya masih lagi berburuk sangka
terhadap sahabatnya. Lalu siapa yang ketawa, pastilah syaitan yang sudah
berjaya merosakkan sebuah ukhwah yang mungkin sudah sekian lama terbina.
Semuanya gara-gara buruk sangka yang dibisikkan syaitan.
Manusia memang sifatnya tidak sempurna
Manusia memang sifatnya tidak sempurna
Kita harus bangun dari lena yang panjang,
harus mengakui yang memang ada dikalangan sahabat kita yang memang
kadang-kadang membuat kita sakit hati, selalu mengguris perasaan kita tetapi
itu tidak menjadi lesen untuk kita membencinya dan menjauhinya terutamanya
kepada para daei’ yang sedar bahawa hanya ada dua golongan di dunia ini iaitu
daie’ dan mad’u. Persoalannya, pernahkah kita mendepaninya dan berbicara
dengannya dari hati ke hati mengenai perasaan yang kita rasakan tatkala dia
melakukan sesuatu yang kita tidak sukai? Jika tidak pernah, walaupun kita yang
teraniaya tetapi kita sebenarnya lebih kejam kerana telah membencinya dalam
diam dan menghindarinya. Ukhwah itu dibina atas ikatan cinta lalu apabila tiada
cinta di satu pihak pasti di satu pihak lagi dapat merasainya. Percayalah
bahawa mereka merasainya, mereka sedar mereka sedang dihindari, mereka sedar
mereka sedang dibenci tetapi apakan daya mereka tidak mengerti kenapa.
Ukhwah
tidak seindah dahulu?
Inilah antara penyebab utama kenapa ukhwah
itu renggang dan pudar sinarnya. Kerana kita tidak pernah sedar silap kita dan
kita juga sering tidak jujur terhadap sahabat kita. Yang menyakiti ada salahnya
dan yang disakiti juga ada salahnya. Terlalu banyak yang menyakiti dan terlalu
banyak juga yang memendam rasa. Tiada lagi senda gurau, tawa hilai kedengaran,
pertembungan hanya diakhiri dengan ‘akward moment’ semata-mata. Tiada lagi
saling meluah rasa. Akhirnya ukhwah itu tiada lagi. Siapa yang gembira?
Wallahu’alam
Comments
Post a Comment