Virus-Virus Ukhwah (Part 2) - Kealpaan dan Kecintaan yang membinasakan
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt
Assalamualaikum wbt
Kewajipan
sahabat menurut Abu ‘Atahiyah: Menyimpan rahsianya, simpati ketika dalam
kesusahan, dan memaafkan kesalahannya.
Virus
1: Bersahabat kerana nikmat dunia
Adakah orang yang bersahabat dengan orang
lain kerana nikmat dunia? Jawapannya ya, memang ada dan wujud. Saya dapat
klasifikasikan 3 situasi bagaimana persahabatan seperti ini boleh terjadi.
1.
Seorang sahabat yang memang
dari awal lagi mencari sahabat yang setaraf dengannya atau lebih tinggi(nikmat dunia) daripadanya.
Mereka mencari sahabat yang sama tahap kekayaan dunia atau mempunyai minat yang
sama dalam sesuatu. Mereka ini jenis sahabat yang senang meninggalkan
sahabatnya bila sahabatnya tidak lagi setaraf atau sealiran dengannya.
Contohnya, mencari kawan dari golongan yang kaya atau popular supaya mereka
juga kelihatan seperti kaya dan juga popular.
2.
Dua sahabat yang memang tulus
bersama dan sukar berpisah kerana saling mencintai, tetapi apabila nikmat dunia
itu datang menerpa, mereka saling berlawan untuk mendapatkannya. Ini boleh
terjadi kepada semua dan contoh yang paling kerap kita lihat ialah dua sahabat
yang bijak tetapi saling membenci dan iri hati apabila mengetahui sahabat ini
mempunyai kelebihan di bidang itu dan ini dan saling berlawan untuk menjadi
yang terbaik.
3.
Sahabat yang memang tulus
mencintai sahabatnya, memang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi
kepadanya. Tetapi, tiba-tiba hatinya berubah apabila sering membandingkan dirinya
dengan nikmat yang sahabatnya peroleh. Dia terlalu memandang tinggi nikmat yang
sahabatnya peroleh dan dia selalu memandang rendah kepada orang yang kurang
ketaatan kepada Tuhan berbanding dirinya. Ini bahaya, contoh yang boleh kita
lihat apabila dia bersahabat dengan orang yang lebih kaya dan lebih berilmu,
pada mulanya dia bersyukur dengan segala kurniaan Allah, namun lama kelamaan
dia sentiasa membandingkan dirinya dengan sahabatnya, dia lebih pandai, lebih
kaya, lebih berilmu. Sehingga pada satu tahap dia memandang rendah kepada orang
sekeliling yang lebih miskin, tidak pandai, tidak beramal dengan agama
berbanding dirinya yang lebih ‘warak’.
Semakin kita cintakan dunia, semakin hilang
sifat itsar. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
“Seseorang
di antara kamu tidak beriman (dengan sempurna) kecuali setelah mencintai
saudaranya seperti mencintai dirinya” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Semua situasi-situasi di atas amat
berbahaya dan hanya mengundang sifat egois dalam diri, menjadikan kita lebih mementingkan
diri sendiri dan tidak lagi mengamalkan itsar(mendahulukan orang lain) terhadap
orang lain.
Maka, perlu untuk kita sentiasa menyuburkan
iman kita dengan sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-mengingatkan antara
sahabat kita supaya matlamat dan tujuan ukhwah kita tidak lari dari landasan
sebenar.
Virus
2: Berukhwah tetapi lalai dalam melaksanakan ibadah kepada Allah
Keasyikan dengan perkara-perkara lagha
Ingat kembali bahawa kita berukhwah kerana
Allah. Jadi, sepatutnya ukhwah itu membawa kita lebih mendekati dan mencintai
Allah dan bukan sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah
dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah berpisah, kecuali disebabkan
oleh dosa yang dilakukan oleh salah
seorang diantara keduanya”
(Riwayat Bukhari)
Matlamat berukhwah itu sendiri kerana Allah
jadi perlunya kita untuk sentiasa menyuburkan ukhwah itu dengan dzikir,
mengingati tentang kebesaran Allah, saling mengingatkan tentang perkara yang
disuruh dan dilarang olehNya. Jika tiada seperti perkara di atas, maka ukhwah
itu akan membawa kita kepada lagha semata-mata. Apa contoh perkara-perkara
lagha? Suka bergossip, melepak, terlalu banyak bergelak ketawa dan banyak lagi
perkara-perkara yang tidak berfaedah yang dilakukan bersama. Perlu kita tahu beza
ye, melakukan aktiviti faedah itu banyak, bukan sekadar berbulatan gembira
sepanjang masa, boleh jadi anda membuat aktiviti lasak seperti mendaki bukit
atau berjaulah di tempat-tempat yang menarik, berkelah di pantai dan banyak
lagi. Ia tetap boleh menjadi aktiviti yang mengeratkan ukhwah asalkan didasari
dengan matlamat yang jelas. Apabila terlalu banyak perkara lagha yang dilakukan
bersama maka hati akan jadi keras dan cepat bosan dengan ukhwah itu. Akhirnya
ia hanya mengundang perselisihan dan tiada lagi persafahaman dalam
persahabatan.
Kadang-kadang, keretakan sesuatu ukhwah itu
bukan sahaja berlaku disebabkan oleh masalah yang berlaku dalam hubungan itu.
Ada juga keretakan ukhwah berlaku kerana seseorang individu itu makin menjauhi
nilai-nilai hidup Islam. Contohnya, sahabat kita ini tiba-tiba ditimpa krisis
kewangan. Lama-kelamaan sikapnya mulai berubah, sentiasa marah, mengeluarkan
kata-kata kesat dan nista serta banyak lagi sifat buruk yang terlahir dek ujian
yang menimpa. Sudah pasti sahabat itu akan menjauhinya kerana mulai hilang
hormat dan percaya terhadap sahabatnya tadi. Mungkin ada yang berfikir tidak
sepatutnya sahabatnya lari daripadanya dan patut membantunya. Kita harus ingat,
ujian itu diturunkan untuk meningkatkan keimanan lalu dimana sifat yang lebih
proaktif yang patut ditonjolkan apabila menimpa masalah. Satu hal lagi, manusia
ini fitrahnya pasti ingin mencari sahabat yang baik dan menyayanginya. Jika
hilang kasih sayang itu dek sifat negatif seperti ini lalu siapa yang patut
dipersalahkan?
Terdapat satu kata pujangga oleh
cendekiawan Islam yang berbunyi:
“Sahabat lebih kami cintai daripada
keluarga sendiri, kerana sahabat mengingatkan kita akan akhirat, sedang
keluarga mengingatkan kita akan dunia”
Perlu difahami, ini bukan bermakna keluarga
itu mendorong kita ke arah keduniaan semata cuma secara logik akal, kecintaan
kita terhadap keluarga itu menjadikan kita kadang-kadang lupa akan akhirat
kerana bahagia bersama keluarga itu cukup mengasyikkan. Jadi, di dalam konteks
sahabat, jika sahabat juga mengasyikkan dunia kita lalu siapa lagi yang akan
mengingatkan kita akan akhirat?
Maka, tidak menjadi kesalahan apabila ada
sahabat yang terpaksa melarikan diri daripada sahabatnya jika sahabatnya tidak
lagi mencerminkan nilai-nilai Islam seperti menghormatinya dan menyayanginya
kerana Allah. Renung-renungkanlah sahabat jenis yang bagaimana yang ingin kita
jadi untuk sahabat kita? Tidak perlu menunding jari, hanya perlu tanya diri
sendiri.
Mahabbah Imani vs Mahabbah Syaitaniyyah
Selama cinta itu dibangunkan atas matlamat
menuju Allah swt, yakinlah bahawa ia tidak akan putus dan akan terus kekal
walaupun perpisahan jasad berlaku antara dua sahabat. Namun, kita tetap harus
berhati-hati dengan syaitan kerana kelicikannya tidak dapat dinafikan. Jika dia
tidak dapat menyesatkan manusia melalui jalan maksiat, maka dia akan cuba
menyesatkan manusia melalui jalan yang ‘diredhai’. Syaitan akan cuba menjadikan
cinta yang asalnya kerana Allah menjadi kerana nafsu. Bagaimana? Inilah mahabbah syaitaniyyah ( cinta yang didorong oleh nafsu syaitan).
Syaitan akan menambahkan kecintaan kita
sehingga kita akan terlalu mencintai sahabat kita. Terlalu mencintai sahabat
sehingga tidak sanggup berpisah, sering terbayangkan sahabat kita termasuklah
ketika kita sedang melaksanakan ibadah seperti solat. Ketika solat pun kita
masih teringatkan sahabat kita sedangkan kita tahu yang solat adalah saat untuk
kita ‘berdua’ dengan Allah. Antara contoh-contoh yang lainnya, kita ingin
sentiasa melakukan ‘ibadah’ bersama sahabat kita, ingin bertilawah bersama
bukan kerana ingin dekat kepada Allah tetapi kita tahu hanya dengan melakukan
ibadah-ibadah yang sahabat kita sukai maka kita dapat merapatinya dan sentiasa
dengannya. Ada juga keadaan apabila kita terlalu mencintai sahabat itu
sehinggakan apabila sahabat itu merapati orang lain, kita akan berasa cemburu
dan tidak suka. Inilah cinta kerana nafsu walaupun pada sangkaan atau pandangan
orang awam ia kelihatan seperti satu ukhwah yang manis. Namun siapa yang tahu
isi hati kita melainkan Allah SWT?
“Dia (Allah)
mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa-apa yang
disembunyikan
oleh hati”
(Al-Mukmin: 19)
Maka, kita perlu berhati-hati terutamanya
para da’ei yang kerjanya adalah menyebarkan cinta Allah SWT. Kita perlu
sentiasa mensucikan niat setiap perlakuan kita kerana Allah. Orang yang faham Islam
dan menyedari apa yang sedang berlaku dalam hatinya maka dia akan terus
memikirkan cara penyelesaiannya. Antara penyelesaian yang di suggest kan oleh
Ibnul Qayyim rahimahullah berdoalah ketika waktu doa mustajab dan berserah
dirilah kepada Allah swt. Beliau berkata lagi, “Jika penyelesaian masalah ini
menuntut seseorang untuk meninggalkan sahabatnya, dengan cara berhijrah ke
negeri lain sehingga tidak lagi menjumpainya, mengetahui beritanya, terbebas
dari perasaan yang mengikat dan pengaruhnya, maka hendaklah ia menempuh cara
ini agar dapat menyelamatkan agamanya”.
Perlu kita sedar bahawa penyakit al-‘isyq
(rasa cinta dan suka yang berlebihan) ini telah melanggari syariat Islam dan
mampu merosakkan ukhwah islamiyyah. Kita harus berhati-hati dalam berkasih
sayang supaya matlamatnya jelas kerana Allah dan jangan biarkan cintamu
ternoda. Allah pasti akan berbicara dengan kita dan hati kita juga merasa sesuatu
jika sesuatu itu salah. Yang menjadi persoalan, bagaimana untuk bertindak
terhadap perasaan kita sendiri. Allah tahu apa yang ada di benak hati kita maka
jujurlah dengan Nya.
Kesimpulan
Inilah dua virus pertama yang dibincangkan
dalam buku Virus-Virus Ukhwah, perlulah kita banyak mencari ilmu agar hati kita
kuat untuk melawan tipu daya syaitan yang nyatanya kuat. Kuatkan pemahaman kita
terhadap Islam dan semoga kita terselamat daripada sifat tercela.
“Ya
Allah, aku berlindung kepada-Mu agar terhindar dari mencintai kerana-Mu,
sementara Engkau benci atau murka kepadaku”
[Doa yang sering diucapkan oleh seorang ulama - Muhammad bin Wasi’ rahimahullah]
[Doa yang sering diucapkan oleh seorang ulama - Muhammad bin Wasi’ rahimahullah]
Wallahu’alam
Bersambung…
Comments
Post a Comment