Peluntur Dosa
Assalamualaikum w.b.t
Musim kenduri kahwin ni pasti ramai yang
menerima jemputan untuk menghadiri majlis kesyukuran sahabat-sahabat atau
saudara mara kan? Jadi sedang enak kita menjamu selera tiba-tiba kuah gulai
tertumpah atas pakaian yang kita pakai. Pernah berlaku tak? Ia berlaku kepada
saya baru-baru ini dan umum mengetahui bahawa gulai yang berminyak itu agak
sukar dihilangkan jika kita tidak bersegera membersihkannya dan itulah yang
saya lakukan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah, terus tudung itu saya
basuh. Ini bagi memastikan kotoran itu akan cepat tanggal dan tidak menyerap ke
dalam fabrik yang mungkin jika dibiarkan lama, kotoran itu pasti susah untuk
ditanggalkan.
Jadi bahan peluntur telah digunakan untuk
memudahkan proses tersebut kerana air sahaja tidak mencukupi. Tambahan lagi air
tidak ‘mesra’ dengan minyak jadi kita perlukan agen peluntur yang boleh
membantu menghilangkan kotoran pada fabrik kita. Selepas mengunakan peluntur,
senang sahaja kotoran berminyak tadi tanggal dan hati saya pun rasa tenang dan
gembira.
Itu peluntur kotoran, bagaimana pula dengan
peluntur dosa? Pernahkah kita terfikir bagaimana kita mahu melunturkan
dosa-dosa kita. Ya, dosa kita boleh dilunturkan juga sekiranya kita ingin
membersihkannya. Dosa analoginya sama dengan kotoran yang terpalit pada pakaian
tambahan lagi jika pakaian itu putih pasti kita akan bersegera untuk
membersihkannya bukan? Manusia ibarat kain putih saat dilahirkan tetapi pasti
sepanjang perjalanan kehidupan kita di dunia ni kita tidak akan lari daripada
dipalitkan dengan kotoran-kotoran dunia.
Untuk melunturkan dosa-dosa dunia yang kita
‘kutip’ seharian menjalani kehidupan sebagai seorang hamba tak lain tak bukan
ialah dengan bersolat. Solat itu ibarat agen peluntur. Sabda Rasulullah SAW;
“ Sesiapa orang Muslim yang apabila masuk
waktu solat fardhu dia berwuduk dengan sempurna, khusyuk dalam solat dan
rukuknya, pasti ia(solat) menjadi kafarah(penebus/peluntur) kepada dosa-dosa
yang telah dilakukannya selagi dia tidak melalukan dosa besar. Ia berterusan
selama-lamanya”
(Riwayat
Muslim)
Apakah sebab kita mandi? Untuk menghilangkan
kekotoran dan untuk membersihkan badan kan, jadi biasanya kita akan mandi tiga
kali sehari dan itupun dikira paling banyak kali kita mandi dalam sehari. Jadi
bayangkan jika kita mandi lima kali sehari, apa perasaan kita? Pasti kita rasa
sangat bersih dan segar setiap kali selepas mandi. Begitu jugalah fungsi solat,
untuk membersih dan menyegarkan kita. Rasulullah SAW memberi perumpaan solat
itu seperti sebatang anak sungai yang
menjadi tempat kita mandi lima kali sehari;
“Apa pandangan kamu jika terdapat sebatang
sungai di hadapan pintu rumah kamu di mana kamu mandi di dalamnya lima kali
sehari, adakah masih ada lagi kotoran?” Mereka menjawab: “ Tiada lagi kotoran
yang tinggal”. Baginda bersabda: “Demikianlah perumpamaan solat lima waktu,
Allah menghilangkan segala kesalahan dengannya”
Jika kita melihat mandi dan membersih
pakaian yang kotor itu sesuatu yang ‘wajib’ kita lakukan dalam kehidupan
seharian maka solat itu jauh lebih wajib dan utama untuk dilaksanakan,
perumpamaan – perumpamaan yang diberikan hanyalah sekadar ingin memudahkan
konsep solat yang harus kita fahami tetapi ketahuilah bahawa solat itu jambatan
kita untuk perjalanan kehidupan yang abadi.
Solat itu menyebutnya memang mudah tetapi
untuk melaksanakannya bukan semua mampu. Sesiapa sahaja boleh menjadi Muslim
dengan mengucap kalimah syahadah tetapi hanya orang Mukmin sahaja yang mampu
melaksanakan solat. Di dunia ini ramai orang Islam yang dermawan, membayar
zakat, mengerjakan haji dan bersedekah kepada orang miskin di luar sana, tetapi
seseungguhnya walaupun dilakukan semua rukun Islam yang lain tetapi
meninggalkan solat maka semuanya hanya sia-sia.
Solat pula bukanlah solat yang kita
bermalas-malasan dalam melaksanakannya kerana sesungguhnya itu salah satu
ciri-ciri orang munafik apabila seseorang sekadar melakukan solat untuk
menunjuk-nunjuk supaya mereka disangka orang yang beriman. Ini bertepatan
dengan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 142.
Mengapa tak khusyuk?
Kebanyakkan daripada kita sangat sukar untuk
mendapatkan khusyuk dalam solat dan saya juga tidak terkecuali. Kadang kala
dalam solat lah teringat tentang benda yang hilang, memikirkan masalah yang tak
selesai dan mungkin juga berkhayal. Allah itu Maha Besar tetapi kenapa kita
tidak meletakkan Allah SWT di tempat yang sepatutnya. Dunia ini hanyalah tempat
ujian dan permainan buat hambaNya jadi jika dalam solat pun kita masih
memikirkan tentang masalah dunia maka sebenarnya kita tidak melihat Allah itu
Besar sebab masalah kita itu lebih ‘besar’ sehingga terbawa-bawa dalam solat.
Ayuh kita refleksi diri! Allah itu Maha Besar malah yang menguasai seluruh alam
jadi masalah kita itu tidak sebesar mana jika nak dibandingkan dengan setiap
penciptaan Allah di muka bumi ini. Tapi kita alpa, lalai dan leka dengan
kesenangan dan kepayahan dunia sehingga kita buta melihat bertapa Besarnya
Allah SWT dari segala segi.
Comments
Post a Comment