Refleksi buku : Sebelum Aku Bernikah oleh Hilal Asyraf
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, baru sahaja tamat menbaca helaian terakhir karya Hilal Asyraf
yang berjudul (SAB) Sebelum Aku Bernikah (pada 29 Januari 2014 lalu). Buku ini saya
mulakan bacaan sejurus saya selesai membaca Fiqh Sirah 1 karya Sheikh Ramadan
Al-Buti dan saya hanya mengambil masa 3 hari untuk menghabiskan buku SAB
manakala hampir 2 bulan saya membaca buku Fiqh Sirah 1. Membaca SAB sekadar
meringankan sedikit fikiran setelah membaca buku yang agak padat pengisiannya,
Fiqh Sirah 1. Tapi hari ini saya bukanlah hendak mengulas buku Fiqh Sirah sebab
buku itu kalau nak diberikan ringkasan tentang apa yang saya baca dan faham
mungkin perlu lebih penelitian.
SAB sebuah karya yang santai namun padat
dengan pengisian yang berguna kepada para remaja. Saya sarankan kepada
mana-mana remaja yang mula mahu mencari erti makna cinta maka bolehlah membaca
buku ini. Saya membeli buku ini sejak tahun lepas lagi namun baru berkesempatan
untuk membaca. Jujur, saya bukanlah peminat buku saudara Hilal Asyraf tapi saya
tetap mengagumi kematangan beliau sejak mengenali beliau pada tahun 2010 lagi
melalui penulisan beliau di blog persendiriannya ketika itu, Langit Ilahi. Ya,
saya lebih banyak membaca blogpost beliau berbanding buku beliau kerana saya
membuat andaian bahawa apa yang beliau bukukan itu sudah saya baca di blog
sebelum ini.
Sebenarnya sudah lama saya tidak berbicara tentang cinta antara lelaki dan perempuan ni. Satu ketika dahulu, di awal
penghijrahan saya memang banyak buku tentang cinta yang saya baca antaranya
karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Tentang Cinta yang ketika itu memang sedang panas
seperti pisang goreng. Ketika itu, hanya buku Ustaz Pahrol sahaja yang benar-benar
dekat dengan hati celaru remaja sezaman saya kerana bukunya yang dibuat santai
dan penerangannya yang mudah difahami golongan remaja dan covernya pula tidak
kelihatan seperti kitab-kitab agama. Ya, saya sekadar remaja biasa ketika itu, yang
mahu hidup happy-go-lucky sahaja hari-hari dan tidak didedahkan lagi dengan
pengertian tarbiyah sebenar, saya mengharungi zaman remaja saya dengan penuh
‘susah’. Susah dalam erti kata ketika itu ia bukanlah suatu kesusahan namun
kebebasan yang tidak berbatas cuma iyelah kalau penghidupan sebegitu saya
teruskan hingga kini memang saya akan benar-benar susah di akhirat nanti.
Alhamdulillah saya dilahirkan dalam
keluarga yang pernah mengikuti usrah di zaman kolej mereka dahulu. Walaupun
kini mereka tidak lagi mengikuti usrah tetapi inshaAllah mereka masih utuh
berpegang kepada kefahaman agama yang jelas walaupun dari segi amalan mungkin
tidaklah sehebat ustaz/ah atau para da’ie di luar sana. Mereka mendidik kami
dengan menekankan pelaksanaan Islam di rumah. Perkara wajib tidak sekali-kali
mereka abaikan. Senang bicara, sederhana sahaja. Saya seperti remaja biasa,
zaman remaja juga zaman saya memberontak tapi masih tidak melanggar batasan
agama, Alhamdulillah Allah masih mahu melindungi saya. Zaman remaja biasalah,
cinta. Seperti saudara Hilal menceritakan dalam bukunya, definisi cinta telah
dipunahkan dengan kepalsuan, khayalan dan lebih parah lagi, kegilaan. Melihat
teman-teman di zaman sekolah mempunyai pasangan masing-masing membuatkan diri
ini rasa ‘tidak bernilai’. Perasaan ‘aku tidak cantik’, ‘aku tidak laku’ sering
juga bersarang di dalam kepala ni. Mungkin keadaan sekeliling yang begitu
menyebabkan saya juga turut terjebak dalam pemahaman cinta yang salah. Jujur,
keluarga saya bukanlah keluarga yang ‘ringan mulut’ meluahkan kasih dan sayang
sesama kami. Di saat meningkat remaja, memang tiada langsung ungkapan seperti
‘ummi sayang anak ummi, atau ‘abah sayang anak abah’. Senang cerita, sayang,
cinta, rindu memang tiada dalam kamus perbualan kami sekeluarga kerana Ummi dan
Abah lebih kepada ‘menunjukkan’ kasih sayang berbanding mengucapkan. Mungkin kerana
inilah saya ‘dahagakan’ ucapan-ucapan cinta dan kasih sayang.
Cinta yang saya maksudkan adalah cinta yang sebenar-benar cinta cuma bezanya waktu itu saya tidak tahu cinta yang bagaimana cinta yang sebenar. Terperangkap dalam definisi cinta palsu memang mampu mengkhayalkan bahkan cintakan persahabatan juga jika tidak disandari cinta sebenar tetapi disatukan atas dasar same interest boleh ‘merosakkan’ kita. Contoh jelas, gejala melepak, ponteng sekolah, buli,vandalisme dan banyak lagi semua akibat ‘cinta persahabatan’ yang salah. Yang tidak didasari Islam tapi sekadar persahabatan yang diikat dengan nafsu. Anda stress, anda mencari sahabat yang sama stress dengan anda dan bersamanya anda pergi melepak dan ponteng sekolah. Samada cinta persahabatan atau cinta ‘monyet’ kedua-duanya didasari nafsu semata-mata dan boleh merosakkan.
Cinta yang saya maksudkan adalah cinta yang sebenar-benar cinta cuma bezanya waktu itu saya tidak tahu cinta yang bagaimana cinta yang sebenar. Terperangkap dalam definisi cinta palsu memang mampu mengkhayalkan bahkan cintakan persahabatan juga jika tidak disandari cinta sebenar tetapi disatukan atas dasar same interest boleh ‘merosakkan’ kita. Contoh jelas, gejala melepak, ponteng sekolah, buli,vandalisme dan banyak lagi semua akibat ‘cinta persahabatan’ yang salah. Yang tidak didasari Islam tapi sekadar persahabatan yang diikat dengan nafsu. Anda stress, anda mencari sahabat yang sama stress dengan anda dan bersamanya anda pergi melepak dan ponteng sekolah. Samada cinta persahabatan atau cinta ‘monyet’ kedua-duanya didasari nafsu semata-mata dan boleh merosakkan.
Kerana saya perasan(sangka) saya kurang
mendapat cinta di rumah, ada ketika saya merasakan persahabatan dengan
teman-teman adalah yang paling saya sayang dan saya cinta. Rasa amat bahagia
ketika bersama mereka di sekolah tetapi bila pulang ke rumah kebahagiaan itu
turut hilang. Sering juga bermain di fikiran, kenapa terasa terlalu kosong di
dalam hati ini dan saya memang lebih suka pergi sekolah berbanding hari cuti.
Saya seorang yang amat menghargai sebuah persahabatan dan boleh dikatakan saya
jatuh cinta dengan persahabatan. Ketika itu saya faham agama seperti
orang-orang biasa, ‘asalkan aku tak buat dosa besar sudah’. Saya tutup aurat,
saya tidak bergurau bertepuk tampar dengan lelaki, cukuplah tu. Ya itulah yang
saya bawa sehingga ke pusat pengajian tinggi, sebuah perasaan kosong yang tidak
saya mengerti apa yang hilang. Pernah juga Allah menguji saya dengan cinta
manusia tapi dengan kekuasaan Allah jugalah Dia menarik saya kembali dan di
situlah bermula sebuah penghijrahan kepada sebuah cinta yang cukup cantik dan
terisi. Kekosongan yang sekian lama tersorok di lubuk hati kini sudah terisi
dengan namanya Cinta.
Cukup cantik definisi cinta yang digarap
oleh saudara Hilal, “Jika benar cinta mesti membawa ke syurga, apa-apa yang
membawa ke neraka, maka itu bukanlah cinta”. SubhanAllah, kali pertama saya
mendengar ungkapan ini ialah tahun lepas iaitu ketika saya menyertai Seminar
Baitul Muslim 2.0 yang diadakan di PICC. Tertusuk hati saya ketika itu. Rupanya
saudara Hilal ada menulisnya dalam buku SAB (maklumlah baru baca). Ya, memang
benar dan bertepatan sekali definisi cinta yang saudara Hilal garapkan dalam
buku beliau. Cinta itu fitrah, Allah SWT yang memberinya kepada kita jadi
adakah kurniaan Allah itu berbentuk suatu kerosakan kepada kita? Sudah tentu
tidak! Sudah tentu kurniaan Allah itu suatu rahmat dan nikmat, maka Cinta juga
sepatutnya sesuatu yang suci dan sacred yang tidak tercemar oleh nista. Selama
ini yang disangkakan cinta rupanya nafsu yang dibalut cantik dan menyamar
sebagai cinta. Cinta bukan sesuatu yang kotor, jika ada yang berkorban kesucian
kerana cinta sedarlah bahawa itu bukan cinta tapi hawa nafsu semata-mata. Hanya
sedikit bisikan syaitan kepada kita tapi yang mengzahirkan perbuatan hina
bukanlah akibat hasutan pihak ketiga tetapi kerana kotornya hati mengikut
nafsu.
Apabila saya tersedar bahawa pemahaman
cinta saya sebelum ini jauh ke laut, sedarlah saya bahawa kotornya hati saya
sehingga tidak terlihat cahaya yang terang benderang. Ibarat sekeping kertas
hitam tetapi ada satu titik kecil sahaja putihnya, sukar dilihat jika tidak
memerhati dan Alhamdulillah dengan izinNya saya ‘nampak’ setitik putih itu,
masih ada harapankah untuk aku mengembalikan warna putih pada keseluruhan
kertas hitam itu? Maka bermulalah penghijrahan saya kepada erti cinta yang
nyata. Bermula dari titik itu saya mula membaca, mencari tentang cinta, join usrah, baca buku agama, menghadiri majlis ilmu dan lain-lain. Saya masih ingat lagi saat pertama saya membaca buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam oleh Fathi Yakan, satu perasaan baru hadir dalam hati, ibarat baru bertemu cahaya, ternyata cinta itu indah sekali =). Saat itu tiada apa lagi yang saya harapkan
melainkan mendapatkan cinta itu. Ye, saya benar-benar jatuh cinta ketika itu, sehingga
pernah suatu ketika saya melihat cintakan dunia itu cukup menjijikkan dan saat itu
saya sanggup membuang semua kecintaan saya kepada dunia semata-mata mahukan
cinta Allah SWT. Cintakan sahabat, buang! Cintakan wang, buang! Cintakan
manusia, buang! Buang semuanya! Ya, kerana itulah kali pertama CINTA menyapa
saya.
Sepanjang perjalanan saya ‘memutihkan’ kembali
kertas hitam itu (hati), saya belajar banyak perkara, tidak salah mencintai
dunia asalkan bermatlamatkan akhirat. Maknanya, mencintai sahabat kerana Allah
digelar ukhwahfillah, mencari harta dengan tujuan untuk diinfaqkan insha-Allah menjadi
jihad Fisabilillah dan mencintai manusia bertujuan membina Baitul Muslim
insha-Allah akan dapat redhaNya. Ini semua bermatlamatkan cinta hakiki dan sama
sekali tidak salah. Cinta itu sebenarnya matlamatnya jelas, amat jelas, Cinta
untuk ke Syurga. Ya, itulah matlamatnya!
Ya, mungkin ada yang berpendapat yang topik
ini remeh dah sudah biasa tapi saya merasakan cinta ini penting untuk kita
bersihkan kembali definisinya yang sudah dicemari. Kerana apabila hati
mengenali erti cinta maka bermulalah perjalanan seorang hamba. Cinta membantu seorang hamba memahami erti mentauhidkan Allah SWT, cinta itu fitrah(naluri) sebab itulah apabila seorang hamba mencintai Tuhannya, dia akan berasa cukup kerana fitrahnya sudah terisi dan kembali kepada Allah SWT.
Wallahu'alam.
Comments
Post a Comment