Hauna & Salama
Alhamdulillah pada 23 Ogos 2014, saya
diberi kesempatan untuk mengikuti salah satu program anjuran Rumah Ngaji yang
diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Shah Alam Seksyen
13. Rumah Ngaji ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak mengadakan
program berbentuk majlis ilmu di sekitar Selangor dan KL terutamanya di Shah
Alam. Alhamdulillah, ini program pertama anjuran Rumah Ngaji yang saya hadiri
dan Alhamdulillah sangat bermanfaat. Boleh like page mereka di Rumah Ngaji.
Program yang saya sertai kali ini dinamakan
“Family BBQ : Ibu Bapa Ar-Rahman”, BBQ di sini membawa maksud “Bincang, Baca,
al-Quran” dan ayat kupasan kali ini ialah dari surah Al-Furqan ayat 63 yang
dikupas oleh Tuan Fazrul Ismail. Jadi saya sekadar menyampaikan kembali apa
yang saya perolehi dan turut berkongsi serba sedikit pengalaman sendiri supaya menjadi ingatan buat diri saya dan semoga bermanfaat buat
sahabat-sahabat sekalian.
Bismillahirrahmanirrahim
Salah satu daripada 99 nama Allah Azza Wa
Jalla ialah Al-Muntaqim (Maha Menghukum/ Maha Memberi Pembalasan) namun rahmat
dan kasih sayang Allah Azza Wa Jalla itu melebihi sifat Al-Muntaqim ni dan
Allah Azza Wa Jalla membuktikan kecintaanNya kepada kita dengan surah Al-Furqan
yang bermaksud membezakan yang haq dan yang batil.
Analoginya begini, jika kita sayangkan seseorang seperti ibu ayah yang
sayangkan anaknya, apabila anaknya membuat kesalahan adakah ibu ayah terus
menghukum atau paling teruk memukul/mencubit mereka? Seorang ibu atau ayah yang
penyayang pasti akan menasihati anaknya dahulu sebelum bertindak memberi
hukuman. Maka kasih dan sayang Allah lebih besar lagi dari sekadar itu, Allah memberi peringatan
dan amaran awal-awal lagi kepada manusia supaya tidak melakukan perkara yang
ditegah bahkan Allah Azza Wa Jalla memberi kita peluang bertaubat sebelum kita
meninggal untuk kita memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah Subhana wa
Taala. Jadi, usah kita merasakan Allah Azza Wa Jalla kejam (nauzubillahi min
zalik) kerana Allah Azza Wa Jalla menyayangi kita melebihi diri kita sendiri
menyayangi kita. Dia mahu kita ke syurgaNya jadi kenapa perlu bersifat kejam
terhadap diri sendiri. Bukan Allah yang membinasakan diri kita bahkan kitalah
yang merelakan diri kita dibinasakan. Allahuakbar!
Ayat 63 dari surah Al-Furqan merupakan ayat
pertama yang menerangkan tentang sifat-sifat Ibadurrahman, ia bermula dari ayat
63 hingga ayat 77. Saya sendiri pernah membentangkan topik ini dalam usrah saya
namun sekadar berdasarkan pembacaan ringkas sahaja dan bukanlah spesifik
seperti yang saya ikuti dalam sesi BBQ ini.
Jom baca ayat ini:
wa ‘ibadurrahmaanillazina yamsyuna ‘alal ardhi
hauna, waiza kho thabahumul jaahilu naqolu salaama.
Ertinya: Adapun hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah itu adalah orang yang
berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka
(dengan kata-kata menghina), mereka mengucapkan salam.
Dalam ayat ini
ada dua sifat ‘ibadurrahman yang diketengahkan oleh Allah Azza Wa Jalla dan dua
sifat ini mesti berjalan seiring tidak boleh salah satunya kerana jika yang
pertama tidak diamalkan maka yang kedua tidak akan wujud.
Sifat pertama
ialah “hauna” pada ayat ini;
“berjalan di bumi dengan rendah hati”
“Hauna” membawa
maksud rendah hati/ rendah diri atau yang kita sedia maklum tidak
sombong/angkuh. Sifat sombong adalah sifat hati yang amat merbahaya. Kerana
kesombongan syaitan dihalau dari syurga, kerana kesombongan firaun
ditenggelamkan dan kerana kesombongan jugalah Qarun ditimbus oleh hartanya
sendiri. Kita mengambil iktibar dari sejarah yang telah membuktikan sifat
sombong tidak akan membawa manusia ke tahap yang lebih baik malah sifat ini
hanya akan merosakkan diri pada akhirnya.
Maka, sifat
pertama yang perlu ada pada setiap jiwa 'ibadurrahman (hamba Ar-Rahman) ialah
‘hauna’. Sifat ‘hauna’ ini sifat yang tidak boleh dilihat kerana ia sifat yang
perlu diterap di dalam hati. Maka ‘hauna’ akan terzahir melalui perbuatan sifat
yang kedua dalam ayat ini iaitu ‘Salama’.
“dan apabila orang bodoh
menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan salam”
“Salama” membawa maksud yang cukup banyak seperti
sejahtera, selamat dan ‘salama’ juga merupakan sifat zahir di dalam ayat ini
dimana jika seseorang yang jahil melayan kita dengan buruk maka kita tidak
membalas perbuatan mereka malah kita tetap melayan mereka dengan baik.
Analoginya seperti ini, jika anak menangis, membuat bising dengan kuatnya di
khalayak ramai, anak itu kita kategorikan sebagai jahil (tidak tahu) kerana
mereka hanya memikirkan keinginan mereka sendiri sahaja dan tidak endah akan
persekitaran. Sebagai ibu bapa apa perasaan kita ketika itu? Pasti ada rasa
geram, malu dan nak marah anak sebab buat bising dan pendekatan yang selalu
diambil ialah memarahi kembali anak itu. Berbeza dengan ibu bapa yang bersifat
dengan sifat ‘hauna’ dan ‘salam’, mereka tahu anak mereka jahil dan demikian
itu mereka menggunakan pendekatan memujuk dan memeluk anak itu supaya kembali
reda tangisannya.
Begitulah juga
apabila kita berada dalam kalangan masyarakat. Apabila masyarakat yang jahil
menyakiti kita contohnya seperti memburuk-burukkan kita atau memalukan kita, pasti dengan
mudahnya nafsu kita merasa marah bukan? Tapi tidak bagi yang memiliki
sifat ‘hauna’ dan ‘salama’ ini. Kerana mereka tahu yang memburukkan mereka itu
jahil(tidak tahu hakikat sebenar) maka tidak menjadi sesuatu yang penting untuk membalas perbuatan khianat
orang yang jahil, bahkan dek kejahilan mereka, hamba Ar-Rahman bertambah kesian
terhadap mereka dan berdepan dengan mereka dengan sifat ‘salama’ yakni berlemah lembut.
Ya, saya tahu
memang susah untuk kita mencapai sifat sesempurna itu namun tidak mustahil
kerana tidak mungkin Allah Azza Wa Jalla mengajarkan hambaNya sifat-sifat
Ibadurrahman jika Dia tahu kita tidak mampu, Dia yang mengenali kita melebihi
diri kita sendiri maka yakinlah dengan Dia dan Dia tahu kita mampu menjadi
Ibadurrahman (jika kita mahu). Pokok pangkalnya niat kita.
Wallahu’alam.
Itu sahaja
inshaAllah serba ringkas pengisian yang dapat saya kongsikan kepada sahabat-sahabat
sekalian. Tujuan saya hanyalah supaya menjadi ingatan kepada diri saya sendiri
dan jika sahabat-sahabat mendapat manfaat daripadanya maka bersyukurlah kepada
Allah Azza Wa Jalla yang menggerakkan hati sahabat-sahabat sekalian.
Ayat yang dibincangkan |
Tuan Fazrul memberi pengisian |
Wassalam =)
Comments
Post a Comment