Futur? Bukan pilihanku
Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah kerana diizinkan Allah Azza Wa Jalla sekali lagi menghadiri majlis ilmu yang insha Allah adanya para malaikat yang turut sama turun mendoakan keberkatan majlis ilmu yang kita hadiri. Alhamdulillah baru-baru ini saya berpeluang ber-halaqah bersama pentazkirah jemputan yang cukup hebat dan mantap, iaitu Ustazah Norhafizah Musa. Insha Allah apa yang bakal dikongsikan hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan apa yang didengari dan dijiwai sendiri sepanjang penyampaian ustazah berlangsung. Terkadang yang ditulis tidak mampu memberi gambaran jelas tentang intipati penyampaian ustazah, namun semoga catatan nota yang turut diselitkan pandangan peribadi ini mampu sampai kefahamannya kepada para sahabat malah para sahabat turut merasainya di kalbu. Insha Allah.
Sahabat, setiap hari kita didatangi dengan pelbagai jenis pilihan.
Dan pilihan itu pula hanya ada dua sahaja, haq dan batil. Namun, perlu kita ingat dan sedar,
setiap pilihan yang kita ambil bakal membawa kita kepada pilihan-pilihan yang
seterusnya. Membuat pilihan yang betul dari awal amatlah penting kerana pilihan
yang betul akan menghasilkan pilihan-pilihan yang lebih baik. Membuat pilihan
yang betul ini ibarat penapis. Dari menapis batu kepada menapis pasir, dari menapis
pasir kepada menapis tanah dan begitulah seterusnya sehingga akhirnya yang
tinggal adalah yang asal kejadiannya. Manusia juga begitu, setiap pilihan yang
datang adalah tapisan daripada Allah Azza Wa Jalla kepada kita dan pilihan yang
dibuat pula bakal melorongkan kita samada semakin mendekatkan kita kepadaNya
atau semakin menjauhkan kita dariNya.
Jika hari ini kita sudah berada dalam gerabak jemaah Islam yang
syumul, maka jangan pernah sekali-kali kita lupa untuk mengucapkan syukur
kepada Allah Azza Wa Jalla. Hakikatnya, keberadaan kita di dalam jemaah Islam
adalah kerana izinNya dan bukan kerana “kesungguhan” kita. Bait ungkapan
ustazah, “Allah telah meletakkan kita ditempat yang terbaik tapi kita masih
berkeluh kesah” amat padu dan jitu pukulannya pada diri saya sendiri. Jika
sepanjang hidup kita sentiasa dikelilingi orang yang sering kali mengajak kita
berusrah, menjemput kita ke majlis ilmu malah seringkali menasihati kita (walaupun
kita mungkin tidak suka), maka bersyukurlah kerana Allah ‘masih sudi’ menjaga
kita dari kelalaian dunia. Sayangnya jika kita mempunyai perasaan rimas kerana
dikelilingi oleh orang-orang yang (inshaAllah) soleh dan solehah sedangkan
itulah hadiah Allah Azza Wa Jalla kepada kita kerana hanya Dia yang tahu kadar
iman kita sedangkan kita sendiri tidak mengetahui. Bersyukurlah!
Perkara yang WAJIB kita mesti buat apabila kita ber’intima dalam
gerakan Islam adalah Musyawarah dan Usrah. Paling kurang dalam sebulan mesti
ada musyawarah dan mesti ada usrah. Ini adalah komponen yang tidak kurang
pentingnya dalam gerakan Islam kerana ini sahajalah ruang untuk kita menghayati
dan memaknai perjuangan Islam serta menyumbang kepada masyarakat umumnya. Dua komponen ini juga merupakan satu medan wehdatul fikr yang turut membantu kita dalam kesepakatan membuat keputusan serta mematangkan minda. Realiti kefuturan itu bukan sesuatu yang baru dalam medan juang ini, hakikatnya
ini juga merupakan salah satu proses tapisan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam
memilih amilin yang berkelayakan untuk meneruskan perjuangan ini. Alhamdulillah
kita dipilih! Jadi, jika kita susah untuk memberi komitmen kepada gerak kerja
Islam, adakah sebenarnya kita tidak mensyukuri anugerah Allah Subhana Wa Taala
ini?
Saat lidah ringan mengungkap letih, penat, tidak punya waktu dan
terlalu banyak kerja, ketika itu sebenarnya kita sudah mula ‘menjauhkan’ diri
kita dari gerakan Islam. Kenapa bila saat gerakan Islam memerlukan kita, kita
sering beralasan? Salah satu makna ‘alasan’ menurut DBP ialah berdalih atau berhelah, maknanya sendiri sudah cukup memberi konotasi yang negatif kepada
perkataan ‘alasan’ itu sendiri. Kita mencipta alasan biasanya untuk melarikan
diri dari sesuatu. Dalam konteks ini, kita melarikan diri dari gerakan Islam.
Dalam hal ini jangan kita merasa bangga kerana pada dasarnya Allah Azza Wa
Jalla sebenarnya sedang ‘membuang’ kita dari gerabak ini. Mulai saat kita
beralasan, maka Allah Azza Wa Jalla akan ‘membantu’ kita mencipta lebih banyak
alasan dengan memberi kita kesibukan dunia yang bertimpa-timpa. Allah Azza Wa
Jalla tidak zalim malah kita sendirilah yang menzalimi diri sendiri. Tiada
kerugian langsung buat Allah Azza Wa Jalla jika kita tidak berada dalam gerabak
perjuangan ini. Sikit pun tidak!
Alam belajar nyata berbeza dari alam pekerjaan, dan kesibukan yang
dihadirkan merupakan satu bentuk ujian(berbentuk alasan) dan tapisan Allah Azza Wa Jalla dalam
mencari amilin-amilin yang benar-benar cintakan perjuangan. Yakinlah kepada
setiap ujian pasti ada penyelesaian. Pada setiap alasan yang dihadirkan juga
pasti ada solusinya. Antara masalah yang sering berlaku ialah tidak dapat hadir
usrah kerana ada pekerjaan lain, jika benar-benar tidak boleh dianjak urusan
lain itu maka tidak mengapalah tetapi ‘tampung’lah kembali kelopongan anda itu,
antaranya, hadir pada majlis yang lain pula atau memberi cadangan aktiviti pada
waktu yang lain dan anda yang mengetuainya. Perlu ada rasa bersalah dalam diri
setiap amilin seandainya tidak dapat memenuhi tuntutan jemaah. Ibaratnya, anda
terlanggar pasu bunga jiran anda lalu pecah, adakah anda akan lari dari situ
atau berjumpa dengan jiran anda?
Selain itu, masalah juga turut timbul apabila ahli gerakan Islam
terutama muslimat, disekat dari bergerak aktif kerana tidak mendapat keizinan
keluarga/suami. Ini juga turut dijadikan alasan bagi sesetengah orang, namun
Ustazah menerangkan sekiranya benar kita ini mahu memperjuangkan Islam dalam
masyarakat maka janganlah diabaikan tanggungjawab sebagai anak atau isteri.
Santuni ibu dan ayah, siapkan keperluan mereka dan begitu juga keperluan suami
dan anak-anak. Bagaimana mahu dilepaskan isterinya berjuang jika kain dirumah selonggok
masih tak terlipat? Jom fikir.
Melibatkan diri dalam berjemaah sepatutnya banyak memberi manfaat
kepada kita bahkan dalam kehidupan seharian kita. Masa menjadi begitu berharga
untuk dibazirkan. Saat mereka yang lain asyik menonton televisyen bersama keluarga,
saat itulah kita gunakan untuk membaca buku-buku agama untuk dibawakan ke dalam
usrah keesokan harinya. Saat yang lain enak tidur sesudah balik bekerja, saat
itulah kita bereskan kerja-kerja rumah (membasuh kain, lipat baju, dll) kerana
malamnya ada program yang perlu dihadiri. Tiada masa untuk dibazirkan, semua
dipenuhi sebaik-baiknya.
Akhir kalam, kehidupan seorang amilin Allah Azza Wa Jalla tidak sama
dengan kehidupan manusia (walaupun muslim) biasa. Jangan mengimpikan bantal
yang lembut di dunia jika kita mengidamkan tilam yang empuk di akhirat.
Wallahu’alam.
By Amilin Sufi
Comments
Post a Comment