Islah Nafsak Wad'ue Ghairak



sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yg paling 
soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah
melampaui batas untuk diri sendiri.   

                                                                    (Imam Hasan Al Basri)


Assalamualaikum sahabat-sahabat yang ku rindui sekalian,

Lama sungguh tidak menaip buah fikiran dan luahan hati menjadikan jari-jemariku kaku untuk berceloteh, bukan apa tapi takut. takut dengan apa yang disampaikan itu tersasar dari kewarasan fikiran saat itu dan hanya berlandaskan perasaan yang sentiasa berubah-ubah. Takut juga ilmu yang ku dapati ini tidak dari sumber yang sahih sehingga saudara/ri mengamalkan atau percaya tanpa banyak bicara dan usul periksa. Banyak ilmu-ilmu baru yang ku temu tapi harus ku tahan hasrat 'sharing' utk dikaji dan difahami dahulu.

Islah Nafsak Wad'u Ghairak merupakan salah satu topik perbincangan dalam usrah yang di mana saya yang menjadi presenternya. Jadi, saya merasakan sesuatu yang elok untuk saya kongsikan apa yang telah saya bentangkan. Sekali lagi saya ingin ingatkan yang ANDA di luar sana boleh membetulkan saya jika anda dapati saya salah jadi dengan lafaz...

Bismillahirahmanirrahim...


أصلح نفسك وادع غيرك
Perbaikilah diri kamu SERTA serulah orang lain
Perbaikilah diri kamu KEMUDIAN serulah orang lain
Perbaikilah diri kamu DAN serulah orang lain

Ianya boleh dibaca dengan dua wajah tapi masih lagi memberi erti yang sama iaitu 'Islah Nafsak Wad'ue Ghairak' atau 'Aslih Nafsak Wad'ue Ghairak'. Memang ada perbahasan mengenai 2 wajah bacaan ini tapi saya bukanlah orang yang layak untuk membahaskan perbezaan wajah bacaannya kerana saya juga bukanlah orang yang belajar bahasa arab. Baiklah, kita teruskan ye..

Fokus saya dekat sini lebih nak membahaskan huruf و’ yang kebiasaannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu yang membawa erti 'dan'. Anda mungkin nampak benda sekecil ini sebagai remeh tetapi bahasa mampu memanipulasi erti sebenar sesuatu penyampaian itu. Jika tidak menggunakan perkataan yang betul dalam menerjemah sesuatu bahasa maka orang ramai yang non-speaker kepada bahasa asing itu sudah pastinya menerima bulat-bulat maksud yang di terjemahkan itu. 

Huruf و sebenarnya mempunyai pelbagai makna dan fungsi dari segi nahunya (maaflah saya tak belajar tatabahasa bahasa arab jadi saya cuma menceritakan kembali apa yang saya baca). Malangnya, ramai penterjemah di luar sana menterjemahkan Islah Nafsak Wad'ue Ghairak' sebagai Perbaikilah diri kamu DAN serulah orang lain. Ya, kalau dilihat pada direct translationnya memang lah tidak salah tapi kurang tepat. Jika kita mengamalkan penggunaan DAN ini pasti tidak akan ada para pendakwah berani menyampaikan dakwahnya kerana mereka pasti sibuk sedang mengislahkan diri mencari kesempurnaan dalam beragama. 

 Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pndakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yg memberi peringatan.

Menurut sumber(nanti saya akan link kan kemudian), fungsi "Wau Ataf" menurut kaedah nahu ia membawa  kepada 3 makna yang berbeza dan salah satunya 'wau dengan makna bersama jadi terjemahan yang lebih tepat untuk وialah bersama/serta. Jadi makna yang sepatutnya yang kita war-warkan pada masyarakat ialah Perbaikilah dirimu serta/pada waktu yang sama serulah orang lain.

Ya, saya pernah berada di situasi di mana perubahan itu biarlah saya sendiri yang rasa. Join usrah pun sebab saya nak kejar akhirat. Orang lain taknak itu diorang punya pasal lah kan! Astaghfirullah..saya insafi diri saya yang lama. Dulu saya merasakan terlalu banyak kekurangan dalam diri sehinggakan takut untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan. Ye lah, diri sendiri pun tak betul, banyak dosa sana sini macamana nak ajak orang buat baik kan. Tapi, sejak dipertemukan dengan sahabat-sahabat kurniaan Allah yang ilmu mereka lebih tinggi dari saya dan kak naqibah yang sentiasa memberi input yang 'baru' (actually input2 tu memang selalu didengar tapi bila dihayati dan difahami dengan hati barulah terkesan) menjadikan diri ini (insyaAllah) setapak lebih maju.

Memang benar Allah berfirman:
"Barangsiapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hambaNya" 
- Fussilat 41: 46 -

Tapi kita kena ingat, ayat ini bukan diturunkan untuk kita jadikan alasan untuk kita tidak menyampaikan ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Allah itu penuh kesucian. Al-quran bukan untuk kita ikut hanya jika ia bertepatan dengan kondisi kita, tapi kita yang harus ikut secara keseluruhan isi kandungannya. Al-Quran itu panduan hidup mukmin yang lengkap.

Lagi pula, Allah juga dah bagitau kita dengan jelas TUJUAN HIDUP kita di dunia ni:
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-KU"
- Az-Zariyat 51:56 -

Beribadah kepada Allah, pada pendapat saya sudah tentulah kita harus melaksanakan seluruh arahanNya dan meninggalkan laranganNya bukan? 

Allah menyuruh kita menjadi daie/pendakwah/murrobi dan kerja mereka adalah MENYAMPAIKAN
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung"
-Ali-Imran 3:104 -

Jadi, adakah tepat untuk kita mengelakkan diri kita dari menyampaikan yang amar makruf nahi mungkar kepada sahabat-sahabat kita sedangkan ini adalah tuntutan agama kita?

Samada mereka terima ataupun tidak itu bukan lagi dalam lingkungan bidang kekuasaan kita kerana kita ini hanyalah sekadar pemberi peringatan, sama seperti tugas-tugas nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Mereka semua hanya menyampaikan tapi Hidayah itu Allah yang tentukan pada siapa Dia mahu beri. 
 "Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan, Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka"
- Al-Ghasiyah 88: 21-22 -

Tapi ini bukanlah beerti Allah itu zalim bilamana jika ada yang mempertikaikan dengan mengeluarkan kenyataan seperti "Ala, hidayah tak sampai lagi laa....", "Allah tak pilih aku untuk dapat hidayah..." Nauzubillahi min zalik. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang malahan Maha Pengampun. bukankah Allah telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd 13:11 "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri..." Jadi masih mahu beralasankah kita dengan semua perintah Allah ini?

Rasa kerdil menerpa dalam diri sendiri kerana mengingatkan dosa-dosa saya yang silam tapi adakah saya mahu terus meratapi dosa-dosa itu atau bangkit dengan semangat jihad melawan nafsu ini?

Alhamdulillah,Saya sudah merasai kemanisan berada di jalan tarbiyah (InsyaAllah) dan saya mahu sahabat-sahabat juga merasai perkara yang sama. Apabila kita cuba memahamkan diri kita dengan ISLAM yang SYUMUL insyaAllah pasti Allah akan beri jalan untuk kita menuju redhaNya. Ya, ayatknya cliche' tapi itulah hakikatnya dan realitinya.

Suka untuk saya kongsikan kisah salah seorang sahabat Rasulullah yang amat saya kagumi iaitu Abu Bakar As-Siddiq. Beliau contoh terbaik dalam mengaplikasikan kalimah 'Islah Nafsak Wad'ue Ghairak' ini. Beliau merupakan lelaki dewasa yang pertama memeluk Islam dan bila kita telosori sirah nabawiyah, beliau juga telah mengajak ramai manusia untuk mengikuti jalan Islam ini antaranya seperti Uthman bin Affan, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Talhah ibn Ubaidillah, Abdurrahman ibn Auf, Zubair al-Awwan dan Abu Ubaidah Al-Jarrah. Sedarkah kita bahawa Abu Bakar mengajak mereka kepada Islam sedangkan ketika itu wahyu Allah pun masih belum lengkap? Hebat bukan? Mereka percaya pada Allah dan Rasulnya sedangkan ketika itu penurunan wahyu masih lagi berjalan dan hukum-hukum Islam juga masih belum dilaksanakan dengan sempurna. Kitab Al-quran itu masih belum wujud, yang ada ketika itu hanyalah hafalan-hafalan ayat-ayat suci al-quran yang masih belum lengkap. Subhanallah! Hebat bukan! Sungguh setiap kali mengingatkan cerita ini saya jadi terkesima. Kagum dengan ketaatan, thiqah para sahabat ketika itu terhadap perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. 

Bagaimana pula dengan kita? Al-Quran sampai kepada kita dalam keadaan yang lengkap dibukukan, diberi baris supaya senang dibaca, diberi terjemahan supaya senang difahami secara dasarnya, diberi guru supaya dapat belajar memahami maksudnya tapi adakah kita ini umat yang bersyukur? Sungguh aku malu dengan diriku sendiri. Masih berani memohon itu ini, masih malu untuk mengajak sahabat-sahabat lain, masih takut untuk menyampaikan yang haq sedangkan bahannya sudah ada malah lagi lengkap daripada apa yang sahabat Rasulullah dahulu sampaikan kepada orang musyirikin Mekah ketika itu. masakan diri ini masih ragu dengan perjuangan ini. Malu sungguh pada Allah! 

Sungguh, aku perlu banyak refleksi diri. kata-kata Saidina Abu Bakar di saat dilantik menjadi khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah yang menjadi pembakar semangat untuk aku terus thabat dalam perjuangan ini, 

"Aku bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu. Kalau aku taat kepada Allah, maka hendaklah kamu ikut aku dan kalau aku menyalahi hukum Allah, maka hendaklah kamu membetulkan ku."

Jadi, tidak perlu tunggu sehingga hafal satu Al-Quran, tidak perlu tunggu pakai tudung labuh sampai ke lutut (asalkan kita faham konsep Aurah dan mengaplikasinya), tidak perlu tunggu habis belajar di sekolah, tidak perlu semua itu. Apa yang kita perlu adalah kefahaman dari segi akidah itu sendiri kerana apabila akidah kita yakin maka secara automatiknya kita pasti mudah untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan sentiasalah ingat yang tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah SWT. Jadi sebarkanlah kata-kata dari kalam Allah dan sunnah Rasulullah.

p/s: jika terdapat kesilapan dari segi fakta atau hukum dalam penulisan ini, cepat-cepatlah beritahu hamba ini sesungguhnya saya juga masih lagi belajar dan akan terus belajar tapi saya juga punyai impian untuk mengajar(menyampaikan) supaya ilmu ini lebih dapat saya hayati dan amalkan. InsyaAllah.


Wassalam.

Sumber rujukan yang diyakini (insyaAllah)
1) http://ms.langitilahi.com/motivasi-tidak-menunggu-sempurna/
2) http://ulamaummah.blogspot.com/2007/04/blog-post_23.html
3) Al-Quran

Comments

Popular Posts