TIpsTutupAurat 2# : Pakai niqab atau purdah

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Alhamdulillah setelah sekian lama sepi tanpa isi
Kini ku kembali ke pentas penulisan ini
Hehehe ditambah pula dengan sedikit puisi.

Alhamdulillah ku panjatkan pada Allah Azza Wa Jalla yang mengurniakan ilham buatku menulis. Tanpa ilham dariNya maka kontang jualah idea. Syukur atas feedback viewers yang saya dapat daripada post sebelum ini, iaitu TipsTutupAurat 1# yang amat memberangsangkan dan telah memberi inspirasi buat saya untuk terus berkongsi. InshaAllah semoga ini juga dikira sebagai saham akhirat buat saya kerana dunia ini tempat bercucuk tanam pahala. 

Suka untuk saya kongsikan Tips kedua ini kerana melihat makin ramai gadis/wanita di Malaysia khususnya yang memakai purdah atau niqab. Alhamdulillah atas tekad anda untuk mengamalkan amalan sunnah para isteri Nabi ini namun harus diingatkan bahawa niqab atau purdah ini bukan salah satu aksesori fesyen muslimah bahkan ia merupakan satu bentuk komitmen dan tanggungjawab. Bertudung labuh itu sudah tergalas dengannya dengan tanggungjawab dan hal yang sama juga dengan niqab. 

Satu kesilapan untuk para muslimah di luar sana jika menganggap niqab ini salah satu aksesori fesyen muslimah yang boleh dipakai jika mahu kemudian diperagakan di facebook peribadi (kecuali jika anda penjual niqab dan purdah). Jika selama ini pemahaman anda tentang niqab begini jadi apa kata kita betulkan kembali definisi niqab ni.

Jadi ayuh kita teruskan...

#1 Tutup aurat yang lain dahulu

Ya, sebelum anda memakai purdah/niqab pastikan aspek aurat yang lain sudah anda jaga seperti bertudung labuh menutupi dada, memakai stokin atau sarung kaki, memakai baju syariat (tidak ketat/jarang) dan sebagainya. Ini penting kerana ini yang terlebih dahulu yang perlu anda sempurnakan tambahan lagi ia wajib. Jika anda belum lagi menyempurnakan yang ini maka saya cadangkan anda hold dahulu keinginan anda untuk berpurdah dan tambahkan ilmu agama.

Kenapa perlu tambah ilmu agama sedangkan yang difokuskan adalah aurat? Bukankah lebih mudah jika saya terus menutup aurat seperti yang dinyatakan dan terus berpurdah? 

Jika ini yang anda risaukan maka saya ingin jelaskan bahawa setiap amalan perlulah kepada kefahaman dan untuk dapatkan kefahaman perlu menuntut ilmu. Andai amalan kita tidak didasari dengan ilmu maka dengan mudah juga amalan itu kita tinggal. Menutup aurat wajib kita tunaikan walaupun tidak ada ilmu dan wajib juga untuk kita menuntut ilmu bagi memahami syariat Allah yang ini. Namun, berpurdah ini sunnah (ada pandangan yang mengatakan wajib) jadi bukankah lebih elok jika kita sempurnakan yang wajib dahulu?...

#2 Tanggungjawab

Purdah ini tidak datang dengan imej fesyen tetapi ia datang dengan imej agama dan agama itu ialah Islam. Islam bukan agama yang menekan penganutnya tapi Islam ialah agama yang meraikan fitrah penganutnya. Jika anda memilih untuk berpurdah maka anda harus ingat anda juga menggalas tanggungjawab memelihara agama Islam. Berpurdah adalah untuk menghindarkan fitnah jadi janganlah anda mengundang yang sebaliknya. Niqab ni penutup wajah tapi jangan pula bila berpurdah anda makin galak mempamerkan 'wajah'. Secara peribadinya, saya tidak merasa salah pun untuk mereka yang berpurdah mengambil gambar dan muatnaik di laman sosial tetapi gambar itu yang bagaimana? Kita boleh berfikir sendiri tentang kesesuaian gambar yang di upload bukan?

#3 Pilih untuk tidak dilihat


Apabila anda membuat keputusan untuk berpurdah maka anda telah membuat keputusan untuk tidak dilihat. Maknanya, anda memilih untuk tidak menonjol dan tidak menarik perhatian orang. Tidak dinafikan, memakai purdah memang pada awalnya akan menarik perhatian rakan-rakan terdekat anda namun itu bersifat sementara dan tidak dinafikan juga bagi orang yang jarang melihat muslimah berpurdah mereka juga akan tertarik untuk melihat. Itu sudah menjadi kelaziman untuk orang melihat sesuatu yang jarang dilihat. Ia bersifat sementara atau sekejap sahaja. Ada beza apabila anda memakai purdah hitam, baju pudar atau kelam, berbanding anda memakai baju corak harimau, berpurdah blink-blink, berkasut tinggi dengan beg yang terang kemudian berjalan ke pasar malam. Agak-agak anda mana yang lebih menarik perhatian dan akan diperhatikan untuk jangka masa yang lama? 


Maka, ini kembali kepada niat asal anda berpurdah dan purdah anda dalam kategori yang mana?


#4 Pilihlah purdah yang simple


Seperti yang saya terangkan tadi, kita pakai purdah untuk tujuan supaya tidak dilihat jadi pemilihan purdah amat penting. Elakkan memilih purdah yang ditaburi manik terlalu banyak kecuali kita ada ocassion tertentu saya kira kita tahu menilai kepada kesesuaian majlis. Apapun most of the time yang simple itu lebih selesa. 


#5 Warna purdah

Jika dahulu warna purdah kebanyakkan berwarna gelap atau pastel colour namun kini purdah juga mempunyai koleksi warna yang pelbagai. Secara peribadinya saya tiada masalah dengan warna yang pelbagai tetapi rasanya perlu dititip beratkan adalah jangan terlalu striking. Bagi saya sendiri, saya lebih memilih warna yang gelap atau warna pastel yang malap seperti hitam, kelabu cair, biru gelap, purple gelap dan yang seangkatan dengannya kerana warna yang cerah tidak sesuai dengan saya dan warna yang terang pula saya bimbang terlalu berlebih dalam penampilan. Ini saya mungkin citarasa orang lain berbeza as long as we keep it simple.


#6 Purdah bukan shawl


Oleh kerana purdah semakin menjadi 'trend' dikalangan muslimah maka ada segelintir niqabis yang membelit purdah atau niqab especially niqab jenis butterfly dengan pelbagai gaya ikatan, lipatan dan susunan yang kadang-kadang kelihatan pelik dan terlalu menonjol. Kekalkan momentum kesederhanaan inshaAllah anda tahu gaya yang paling simple yang patut anda gayakan dengan purdah/niqab anda.


#7 Kain biar selesa


Akhir sekali, pilihlah jenis kain yang selesa untuk dijadikan purdah, jangan pilih yang terlalu tebal takut nanti panas dan berasa lemas/rimas pula dengan purdah. Bagi saya sendiri, kain chiffon nipis amat sesuai dibuat purdah, jadikan ia 2-3 lapisan purdah inshaAllah sudah boleh menutup wajah anda dan yang penting ia breathable dan tidak merimaskan. Sekarang ni kebanyakan purdah yang dijual dipasaran pun memang menggunakan kain yang sesuai dan breathable jadi inshaAllah ini tidak menjadi masalah yang besar buat mereka yang ingin tampil berpurdah.



InshaAllah itu sahaja buat masa ini mengenai tips pakai niqab dan purdah. Diharap info ini bermanfaat dan jika anda ingin menambah info yang lebih menarik atau yang tidak terlintas di fikiran saya maka jangan malu-malu untuk drop your comment di post ini. 


InshaAllah semoga diberi kesempatan lagi... Wassalam =)


p/s: Alhamdulillah dah masuk 15 Ramadan. Terima kasih Allah atas nikmat RamadanMu tahun ini...cepat betul masa berlalu...



Gambar ni diambil dari page RumahNgaji dan kebetulan saya berada dalam gambar ni.







Comments

  1. assalam...saya suka no. 3...bling2 pastu g pasar malam...heeeeeeeeee

    ReplyDelete
  2. Tq atas tips..byk point yg sy setuju secara peribadi..insyaallah sy akan jadikan tips ini guideline utk sy disaat sy berpurdah kelak..😊

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts