TipsTutupAurat 1#: Cara pakai jubah atau abaya

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Alhamdulillah syukur kepada Pencipta langit dan bumi yang menganugerahkan segala macam nikmat ke atas kita sehingga ke helaan ini. Sekali lagi Allah Azza Wa Jalla mengurniakan ilham untuk saya menukilkan cebisan idea hasil pengalaman hidup yang masih mentah. Mohon perbetulkan mana yang patut ye =)

Dewasa ini, industri fesyen muslimah makin berkembang dan mendapat perhatian yang luar biasa. Alhamdulillah, tahniah kepada mereka(pengusaha, peniaga, pembekal) yang bertungkus lumus memperkenalkan fesyen yang memenuhi tuntutan syarak ini, semoga Allah Subhana Wa Taala melimpahkan rezeki yang banyak kepada mereka. Syukur kerana makin ramai muslimah di luar sana yang makin hari makin manis menutup aurat. Tetapi perlu diingat juga, tujuan utama menutup aurat. Satu, kerana Allah Azza Wa Jalla dan dua, ia adalah kewajipan yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada kita. Insha Allah, jika niatnya betul maka Allah pasti akan lorongkan kita ke jalanNya. =)

Jubah atau abaya makin menjadi trend bukan sahaja di kalangan mak-mak sahaja tetapi turut menarik minat anak-anak muda remaja, Alhamdulillah ramai yang meminati jubah kerana ia ringkas dan cepat untuk disarungkan. Tetapi makin lama nilai sebenar abaya atau jubah ni semakin di-eksploitasi-kan atau di-eksperimentasi-kan menjadi sesuatu yang tidak syar'i. Tidak salah untuk bergaya dengan jubah tapi pastikan jubah itu memenuhi syarat menutup aurat iaitu:

1. menutup bentuk fizikal tubuh badan
2. tidak ketat
3. tidak jarang

Antara tips yang sering saya jadikan panduan sewaktu memilih jubah untuk diri saya sendiri:

1. Jenis kain
Kain yang paling elok untuk dibuat jubah ialah semua jenis kain kecuali kain lycra. Kain lycra ni material dia memang bagus sebab tak berkedut bahkan tak perlu gosok pun walaupun selepas kita basuh guna mesin basuh. Kain jenis ni memang susah berkedut. Ya, lycra ada banyak jenis tapi kebanyakan kain lycra memang jenis material berat dan jatuh mengikut tubuh. Kain ini memang tidak berbayang secara terus tetapi ia tetap 'membayangkan' bentuk tubuh anda. Bagi saya, material kain terbaik untuk jubah ialah koshibo, ia lembut tetapi tidak melekat. Selain itu kain jenis satin dan chiffon(sebagai lapisan luar sahaja) pun boleh kerana tidak melekat pada badan.

2. Warna & Corak
Perkara kedua yang saya akan tengok ialah warnanya, bagi saya jubah atau abaya ni pada asal penampilannya adalah ringkas, mudah dan tidak menonjol. Oleh sebab itu, jubah berwarna gelap sering menjadi pilihan saya. Jika terlalu banyak manik-manik atau perhiasan, ia akan menghilangkan keaslian kejadian jubah/abaya itu sendiri. Elakkan membeli jubah yang terlalu pelik rekaannya konon-konon itu yang 'in-trend' sekarang kerana akhirnya ia akan merugikan kita sebab pada akhirnya kita akan kerap pakai yang 'decent look' untuk hari-hari biasa.

3. Saiz
Seterusnya saiz, saiz jubah atau abaya ni berubah-rubah sebab ukuran bagi kedai mungkin berbeza dengan kedai yang lain. Contohnya, jubah yang saya beli di Makkah biasanya saya ambil saiz M kerana rata-ratanya masyarakat Makkah ni berbadan besar dan tinggi. Lain pula jika saya beli jubah tempatan, saiznya kadang-kadang L, kadang-kadang XL, bergantung. Yang penting pastikan kita selesa

4. Harga
Hehe, harga biasanya saya memang akan tengok last sekali, tapi bergantung jugalah jika tak berbaloi corak itu dengan harga yang diberikan, cantik macamana pun pada pandangan mata saya, saya tetap takkan beli (yeke??). Harga yang penting, pandai-pandailah. hehehe

Tips pakai jubah/abaya

Eh, pakai jubah pun ada caranya tau. Ini cara saya dan saya sertakan sebab-sebab sekali:

1. Saya pakai jubah tetapi kat bahagian dalam saya pakai t-shirt cotton lengan panjang. Sebab pertama kerana bagi saya material terbaik untuk kulit kita terutamanya dengan cuaca di Malaysia ialah kapas kerana kapas menyerap peluh dan tidak terlalu panas. Sebab kedua, jubah ini sebenarnya berfungsi sebagai pakaian luar seperti jaket. Di Arab, jubah atau abaya ni berfungsi untuk menutup pakaian yang berwarna warni yang dipakai oleh si pemakainya, apabila si pemakainya sampai ke destinasi yang dituju seperti rumah makcik, pakcik ke, mereka akan menanggalkan abaya (sama macam menanggalkan jaket bagi org lelaki yang memakai kemeja di dalamnya) yang dipakainya. Di Malaysia sendiri, pada asalnya wanita muslimah akan mengenakan baju kurung berwarna-warni sebelum menyarungkan abaya atau jubah dan ini sangat bertepatan dengan cara menutup aurat dengan lebih sempurna kerana jubah ni jika kita tidak memakai pakaian lain di dalamnya, bila ditiup angin, tetap akan terlihat bentuk badan kita terutamanya bahagian betis hingga ke peha.

2. Jadi yang kedua, saya akan pakai skirt tebal dan keras (bagi mengelakkan 'berbayang' dek ditiup angin) sebelum mengenakan abaya/jubah. Kebanyakan orang memakai 'kain dalam' di mana saya tidak berapa setuju kerana material kain dalam itu lembut dan tidak sesuai. Selok-eloknya beli skirt yang agak tebal dan keras materialnya untuk dipakai bersama-sama abaya/jubah anda supaya lebih terjaga aurat kita. Boleh juga jika sahabat-sahabat ingin mengenakan seluar panjang sebelum memakai jubah dan material seluar yang saya kira paling baik adalah seluar jeans(straight cut sahaja) kerana jenis kainnya keras dan berat. Tetapi paling elok, skirt labuh-tebal-keras tetap menjadi pilihan saya =)

3. Jika sahabat-sahabat sudah terbeli jubah jenis kain lycra, jadi nasihat saya untuk sahabat yang hendak memakai jubah material ini ialah pastikan sahabat memakai pakaian di bahagian dalam seperti t-shirt atau baju dengan material kain cotton atau koshibo kerana ia dapat mengurangkan sifat lycra yang melekat ke tubuh. Dan jubah jenis lycra pula kalau boleh belilah yang design cuttingnya princess cut di mana ia mengembang besar dari pinggang hingga ke bawah supaya kainnya tidak melekat ke tubuh.

.....

Sekadar itu sahaja secebis perkongsian dari saya, jika sahabat-sahabat juga ada tips cara menutup aurat dengan lebih sempurna tak kisahlah cara pakai tudung ke, pakai baju kurung ke, bolehlah sharekan kepada saya atau nak tulis di blog sendiri bolehla share link atau nak tambah tentang tajuk ini pun boleh =)

Semoga kita mampu menjadi muslimah yang lebih peka dan prihatin dalam menjaga imej wanita Islam secara keseluruhannya.

Wallahu'alam.

Comments

  1. salam. terima kasih atas tip yg dberikan

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas tips yang diberikan. saya minta halal saya nak kongsikan tips ni dekat fb saya ye. terima kasih sekali lagi assalamualaikum

    ReplyDelete
  3. Silakan..semoga bermanfaat buat semua. =)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts