Dari seluar panjang kepada skirt labuh

Assalamualaikum wbt.

Dari seluar panjang kepada skirt labuh. 
Dahulu aku amat suka mengenakan seluar berbanding kain. Walaupun Ummi sentiasa 'membebel' menyuruh aku memakai baju kurung tetapi aku tetap berdegil untuk mengenakan seluar slack. Bagiku tiada salahnya untuk berseluar selagi ia tidak menampakkan kaki sudah cukup.
Pemakaian seluar bukan penentu samada kita tidak muslimah ataupun tidak sopan. Ianya hanyalah tentang helaian kain dan bagaimana kita menggayakannya. Dalam hati ini berkata, "seluar itu memudahkan pergerakan lah Ummi, kalau pakai kain lagi payah nak kayuh basikal". Aku tidak peduli pun saranan Ummi sebab aku tidak nampak salahnya memakai seluar. 

Zaman sekolah dahulu, aku hanya mampu memakai seluar track kerana Ummi tidak akan sekali-kali mengizinkan aku membeli seluar slack apatah lagi jeans. Memang pantang seluar jeans dipakai oleh kaum hawa dalam keluargaku. Kadang-kadang jiwa remaja ini memberontak juga kerana melihat kawan-kawan lain cantik mengenakan seluar slack atau jeans tapi aku berseluar sukan sepanjang masa. Tapi tahan jelah dah memang takde duit nak beli seluar sendiri.

Melangkah keluar zaman persekolahan, aku merasa sedikit kebebasan apabila sambung pelajaran di negeri bukan Kelantan. Aku ini seorang yang sederhana cara pemakaiannya. Tudung sekadar memenuhi syarat bawah paras dada dan baju haruslah di bawah punggung. Itulah prinsip pemakaian yang aku pegang sejak azali lagi. Bagiku itulah gaya sederhana yang aku rasa sekurang-kurangnya sudah memenuhi syarat berpakaian dalam Islam. Aku tidak mahu lebih-lebih takut nanti di cop budak agama yang tahu semua benda. Aku malu di label 'budak agama'. 

Seluar jeans pertama berjaya aku beli dan ketika itu aku berasa "akhirnya aku boleh jadi macam mereka". Tapi aku tidak akan berani mengenakan seluar jeans apabila pulang ke kampung kerana aku tahu pasti Ummi akan marah. Jadi, aku berseluar jeans di tempat pengajian sahaja. Semakin banyak seluar dalam simpanan almariku, ada seluar jeans dan ada juga seluar slack. Seronok dapat bergaya dengan seluar (seluar yang saya pakai adalah seluar saiz biasa yang tidak sendat).

Kemudian aku join usrah, aku mula merasakan keperluan untuk aku melabuhkan bajuku walaupun selama ini bajuku memang sudah menutup sehingga bawah pinggul. Aku beli baju t-shirt labuh sehingga paras lutut. Dalam pada masa itu, aku berusaha mencari tentang aurat serta cara berpakaian yang sebenar menurut Islam. Pada masa yang sama aku sentiasa bereksperimentasi dengan gaya 'muslimah'. 

Makin hari, aku makin selesa berbaju labuh, berseledang/bertudung labuh dengan berseluar kerana ia tetap sopan dan tidak menghalang pergerakan aku. Bagiku, memakai kain hanyalah menyekat pergerakan kerana terlalu banyak benda perlu consider. 

Aku akui aku suka bergaya, aku suka kelihatan cantik tapi yang paling utama aku suka kelihatan kemas. Aku selalu bereksperimentasi dengan gaya 'muslimah'ku. Banyak gaya aku cuba, banyak tudung aku beli, banyak selendang aku gayakan. Bagiku ingin bergaya tidak salah asalkan tidak menyalahi tata tertib pemakaian Islam dan memang betul pun. Aku banyak habiskan duit untuk membeli pakaian muslimah supaya aku boleh buktikan kepada wanita di luar sana bahawa Islam itu mudah.

Tapi lama kelamaan aku rasa terbeban dengan gayaku sendiri. Islam itu mudah tetapi kenapa aku rasa lelah dan penat bergaya ikut 'syariat' Islam. Penat mencari kedai yang menjual pakaian muslimah, penat mencari gaya tudung yang paling trendy buat muslimah. Aku jadi penat. Kenapa penat sangat nak ikut apa yang Islam ajar ni? Aku terduduk.

MUHASABAH

Selama ini untuk siapa aku sibuk bergaya? Untuk siapa aku menutup aurat sebenarnya? Untuk siapa aku bersusah payah mencari baju muslimah?

ASTARGHFIRULLAH!
Selama ni aku ikut hawa nafsu rupanya bukan ikut Islam. Aku jadikan Islam sebagai alasan kononnya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa aku muslimah bergaya. Rupanya aku bertabarruj. Aku sengaja menarik perhatian samada lelaki atau wanita terhadap penampilan 'muslimah' ku.
Lama aku bermuhasabah, memohon ampun dan petunjukNya. Alhamdulillah Dia makbulkan doaku.

Semenjak itu aku lebih bersungguh mencari erti HIJAB yang sebenar dan aku menemuinya. Lalu, bermulalah episod Hijrah aku yang sebenar. Aku berhenti memakai selendang dan aku mula memakai skirt labuh. Aku behenti memakai selendang bukanlah aku mengatakan ianya tabarruj tetapi aku sendiri berasa tidak selesa lagi memakainya kerana merasakan ianya terlalu bergaya buatku. Aku mahu sedaya upaya cuba kelihatan sebiasa yang mungkin. Tidak mahu menjadi perhatian orang. Biarlah aku jadi seperti mereka yang biasa-biasa sahaja.

Dan sesiapa berhijrah pada jalan Allah, nescaya dia akan menemui pada bumi ini tempat perlindungan yang banyak dan (rezeki) yang luas. Dan sesiapa keluar daripada rumahnya berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), kemudian dia menemui ajal, maka telah tersedia untuknya pahala di sisi Allah. Dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani)

An-Nisa : 100

 Aku juga tidak selalu memakai seluar bukanlah kerana seluar itu tidak menutup aurat tetapi bagiku, cuma dengan memakai skirt labuh boleh membuat aku berasa lebih aman dan selamat. Andai aku berseluar sekalipun, baju yang aku pakai haruslah labuh melepasi lutut kerana itu yang membuat aku berasa lebih selamat. Aku amat memberati penjagaan aurat kerana itulah antara tuntutan agama yang aku rasa aku benar-benar boleh ikuti dan amalkan dengan senang.

Menutup aurat itu bukan bermaksud membalut aurat, menutup wajah, membungkus tubuh TETAPI menutup SEGALA pintu FITNAH yang berada di sekeliling kita. Bukan kerana orang-orang sekeliling tetapi kerana kita berkehendakkan redha Allah SWT semata-mata. Ya, redha Allah lah yang menguatkan lagi langkah kita di jalan penuh liku ini. Tanpa redhaNya kita akan mudah kembali terjerumus.

Teringat kata-kata Saidatina Aisyah r. ha:

"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan tidak dipandang"

Ya. Aku mahu seperti itu walaupun sukar.


Wassalam




Comments

  1. Masyallah, impressive dan kreatif!!! Teruskan menulis!. Menpamerkan ilmu kepada orang adalah lebih baik daripada bertabarruj, dan semoga hasrat hati tercapai!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts