Aku pun nak berkorban..

Assalamualaikum wbt

Hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum usrah, aku tersedar bahawa hari ini (rabu yang lalu) sudah 8 Zulhijjah 1433. Hanya tinggal sehari lagi sebelum 10 Zulhijjah yakni Hari Raya Aidil Adha. Aku rasa terpanggil untuk berkongsi kisah yang amat signifikan dengannya yakni kisah penyembelihan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim yang telah diceritakan di dalam Al-Quran untuk di ambil ibrahnya oleh umat Nabi Muhammad SAW. Menelosori kembali kisahnya kali ini amat menyentap sanubariku. Jika selama ini aku hanya sekadar menjadi pendengar kepada kisah ini apabila naqibah atau ustaz-ustazah bercerita tetapi apabila tujuan aku menyingkap kembali kisah ini untuk diperdengarkan (dikongsikan) kepada rakan seusrah menjadikan aku lebih bertanggungjawab untuk mendengar dan mencari kisah yang paling dekat dengan maksud Al-Quran itu sendiri. Aku jadi makin faham dan makin menghayati kisah ini hingga mampu air mata ini mengalir jatuh. Sungguh! Lain benar sisi pandang kisah ini apabila kita menjadi sekadar pendengar selama ini dan kini giliran kita untuk bercerita pula. Terima Kasih Ya Allah atas penghayatan yang Kau kurniakan.


Pengorbanan Dua Nabi

Nabi Ismail adalah anak pertama Nabi Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar. Sebelum datang perintah Allah supaya dikorbankan anaknya, Ismail. Siti Hajar dan Nabi Ismail (masih bayi ketika itu) pernah diuji oleh Allah dengan ditinggalkan di padang pasir yang kering kontang. Selepas kedua-duanya dengan izin Allah berjaya keluar dari padang pasir itu, sekali lagi Allah menguji kecintaan hambaNya dengan menyuruh Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT.

Nabi Ibrahim menerima perintah tersebut melalui mimpinya yang bukan hanya sekali menyinggah. Lalu apabila Baginda yakin bahawa mimpi itu adalah wahyu baginya lalu Baginda ceritakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail;

"Anakku! Aku bermimpi menyembelih dirimu. Cuba renungkan, bagaimana pendapatmu". 
(Ash-Shaffat:102)

Lalu, Nabi Ismail tanpa sedikit keraguan malah menyahut seruan itu dengan yakin!

"Ayah! Lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah kepadamu. In sya Allah engkau akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar"
(Ash-Shaffat:102)

Lalu, pergilah mereka ke Mina untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Sampainya di sana, apabila Nabi Ibrahim cuba menunaikan perintah Allah itu, ditakdirkan Allah pisau yang bakal memutuskan dua urat leher Nabi Ismail itu tidak telus dan tumpul. Apabila dicubakan pisau itu kepada seketul batu besar, ia terbelah. Maka, dilihat oleh Nabi Ibrahim seekor kibas yang tidak jauh dari situ. Maka, tahulah Nabi Ibrahim bahawa itu adalah gantinya korban Nabi Ismail.

"Dan Kami menggantinya dengan binatang sembelihan yang besar"
(Ash-Shaffat:107)

 Kecintaan mereka kepada Allah SWT telah dibuktikan apabila Allah SWT berfirman:

"Wahai Ibrahim! Engkau benar-benar telah membenarkan mimpi itu"
(Ash-Shaffat: 104-105)

Ibrah Yang Banyak

Usai aku membaca dan mengkaji kisah ini, aku terdiam dan tanpa aku sangka mataku berair. Subhanallah! Apa yang aku boleh ambil pengajaran daripada kisah ini sangat banyak. Antaranya tentang pengorbanan.

Melihat kepada konteks diriku sendiri yang ingin digelar amilin Allah ini, terlalu sedikit yang aku mampu korbankan jika hendak dibandingkan dengan para anbiya' dalam menegakkan agama Allah. Usah dibandingkan dengan para anbiya' dengan para ulama pun belum tentu aku mampu sehebat mereka. Tidak perlu fikir terlalu jauh, lihat dalam diri, seberapa ramai antara kita yang menggelarkan diri sebagai daie ini mampu untuk mengorbankan 15-20 masa di antara tidurnya  untuk bangun menunaikan solat tahajjud? Sentap di hati ini memang berbekas, aku sendiri kadang-kadang payah untuk istiqomah menunaikan solat malam, mana mungkin aku bisa menjamin untuk menjadi salah seorang yang syahid kerana berjihad atas nama Islam. Mana mungkin daie yang tidak bisa mengurus diri akan dapat menjadi pedoman kepada mad'u nya. Mana mungkin daie yang tidak lakukan apa yang disampaikan mampu memiliki kepercayaan mad'u nya. Allahu Allah, terlalu banyak yang aku kurang dan aku bermohon kecintaan daripadaMu.

Jika amal islami pun kita payah untuk laksanakan apatah lagi amal jamaie yang pastinya perlukan lebih banyak pengorbanan duit, masa dan keringat. Nabi Ibrahim sanggup mengorbankan anaknya kerana taat kepada perintah Allah, tidak kurang juga Nabi Ismail yang tidak lari atau gentar apabila dirinya bakal dikorbankan. Malah, Baginda berasa yakin dan gembira apabila terpilih oleh Allah untuk dijadikan korban. Kenapa mereka begini? Mereka tidak pernah ke cuba bertanya kepada Allah, kenapa mereka yang harus berkorban? Ini kerana mereka tahu mereka bukan dikalangan yang rugi. Buktinya kerana Allah sendiri yang perintahkan mereka untuk berkorban, nama mereka disebut oleh Allah untuk berkorban. Kita? pernah ke nama kita keluar dalam mana-mana riwayat atau firman yang berkehendakkan kita berkorban sesuatu? Takkan, maka di sini pun kita boleh nilai sendiri siapa yang Allah bagi kemuliaan.

Kita berkorban bukan untuk terkorban

Bagi aku, dalam Islam apabila kita berkorban, kita tidak akan terkorban dan tidak akan menjadi mangsa korban. Malah, kita akan sentiasa menjadi orang yang beruntung. Kerana kita bukan berkorban sia-sia, kita ada matlamat dan tujuan hidup yang jelas iaitu menuju ke syurga. Apabila hidup di dunia bertunjangkan akhirat maka mudahlah kaki ini untuk melangkah menongkah arus jahiliyah yang deras. 

Baiklah, analogi mudah bagi pengertian berkorban ini, 
seorang cikgu yang berpenat lelah bersengkang mata, malam dan siang bagi menyediakan modul pengajaran terbaik untuk diajar kepada anak muridnya. Kalau dilihat kepada jangka masa pendeknya, buat apalah cikgu nak bersusah-susah untuk mentarbiyah anak muridnya sedangkan itu bukan anaknya pun. Kalau mereka tak pandai sekalipun, cikgu tak perlu pun nak susah sebab gaji tetap masuk. Betul tak? Tetapi kenapa cikgu ini bersusah-susah juga, sebab di hari kemudian, dia juga akan mendapat keuntungannya, apabila anak-anak muridnya berjaya dan menjadi pemimpin negara, dia juga akan mendapat nikmat keamanan, kesenangan dan kemajuan dalam hidupnya. Jika dahulu negaranya mundur maka tidak mustahil negara akan maju kerana kepintaran pemimpinnya memimpin negara.

Begitu juga dengan kita sebagai hamba Allah SWT. Pengorbanan yang kita lakukan Lillahi Taala tidak akan pernah sia-sia kerana matlamat kita jelas untuk mendapatkan kesenangan di syurga. Yakinlah kepada Allah, tinggalkan sebarang bentuk jahiliyah dan maksiat yang kita berasa nikmatnya hanya di dunia. Ingatlah bahawa kita akan mati.

Jadi, bersediakah kita untuk berkorban?

Manusia ini tidak pernah lari daripada melakukan dosa maka apabila tiba saat Hidayah itu menyapa, sambutlah ia dan pegangnya erat-erat. Buanglah segala bentuk jahiliyah yang lalu. 

  • Jika dahulunya kita tidak menutup aurat dengan betul maka korbankanlah nafsu kita yang sentiasa ingin kelihatan cantik pada pandangan manusia kepada pandangan Allah SWT semata.
  • Jika dahulunya kita ber'couple maka korbankanlah cinta harammu dan carilah cinta halalmu yakni Allah terlebih dahulu.
  • Jika dahulunya kamu banyak melakukan maksiat, maka korbankanlah kenikmatan maksiat itu dan carilah kenikmatan iman.
  • Jika dahulunya kamu lagha menbaca novel cinta picisan maka korbankanlah ia dengan membaca buku-buku yang mendekatkan jiwamu dengan Allah.
Mungkin, pengorbanan seperti ini kelihatan kecil dan kadangkala tidak perlu tetapi ingatlah bahawa setiap muslim itu tidak akan menjadi mukmin jika jahiliyah yang kecil ini tidak dicungkil daripada terus melekat di hati. Ibarat gigi selepas makan, pasti ada sisa yang perlu dicungkil keluar kerana jika dibiarkan lama akan berlubanglah gigi tersebut dan kos merawatnya juga menjadi semakin mahal.

Satu gigi yang sakit bakal mengakibatkan seluruh sistem badan tidak selesa

Wassalam




Comments

Popular Posts