Refleksi Connecting Circle : Akhlak, Ikhtilat dan Cara Menjaga Hati

Assalamualaikum wbt

Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh semesta alam dan Nabi Muhammad kekasih Allah.

...

Alhamdulillah, selesai sudah satu lagi program kuliah online semalam di mana saya diberi kepercayaan oleh pihak penganjur untuk menjadi emcee. Sungguh terasa ada kupu-kupu di dalam perut semasa mengendalikan program tersebut. Al-maklumlah saya ni bukanlah orang yang pandai berbahasa  indah seperti penulis novel Thoyba Mursyidah itu.hehe

Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan banyak input(ilmu) yang saya dan sahabat-sahabat yang lain dapat. Kadang-kadang ilmu itu kita dah pernah tahu dan dah pernah baca tetapi manusia ni memang sifatnya perlu sentiasa diberi peringatan maka amat bagus untuk kita sentiasa refresh ilmu yang kita sudah tahu itu samada dengan mendengar atau kita sendiri yang menyampaikan ilmu tersebut. In sya Allah dengan berbuat demikian, ilmu itu akan lebih kita hayati dan amalkan dengan lebih yakin.

Saya mulakan majlis connecting circle tadi dengan mukaddimah bagi memberi gambaran sedikit tentang apa yang bakal dikupas oleh penceramah jemputan. Tajuk ceramah tadi ialah Akhlak, Ikhtilat dan Cara Menjaga Hati. Antara yang sempat saya kongsikan tadi ialah tentang akhlak. Akhlak boleh didefinisikan kepada beberapa maksud antaranya:

  1. Khaluq : perangai, tabiat (luaran)
  2. Khuluq : gambaran batin (peribadi) manusia
  3. Khalqu : gambaran luar, rupa bentuk fizikal (ie. ketinggian, raut wajah)
  4. Kekuatan jiwa yang melahirkan amalan-amalan zahir, perlakuan sengaja atau kebiasaan samada sifat mahmudah atau sifat mazmumah.
Jadi, kita boleh lihat di sini bahawa akhlak itu adalah menjadi cermin peribadi seorang muslim. Istimewanya Islam ni ialah kerana kesyumulannya (merangkumi kesemua aspek kehidupan) sehingga akhlak pun ada cara Islamnya yang diberi nama akhlak Islamiyyah. Jadi, amat penting untuk mereka yang mengaku islam untuk berakhlak dengan akhlak islamiyyah. Contohnya banyak dan antara yang paling sering menjadi topik perbincangan ialah tentang ikhtilat antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.

Apa pula makna ikhtilat?
Ikhtilat bermaksud pergaulan dan kata dasarnya ialah khalata iaitu bercampur. Ulama feqah mendefinisikan ikhtilat sebagai satu keadaan apabila lelaki dan perempuan ajnabi bertemu (melebihi dua orang) di suatu tempat dan berlaku interaksi antara mereka, interaksi tersebut boleh jadi percakapan, pandangan atau isyarat yang boleh difahami.

Jadi persoalan yang timbul di sini ialah apa hukum ikhtilat ini? 
Situasi yang bagaimana ikhtilat itu dibolehkan di sisi syarak?
Bagaimana kita perlu menjaga ikhtilat?
Kenapa kita perlu menjaga ikhtilat?
Bagaimana ikhtilat di alam maya?

Dan banyak lagi persoalan-persoalan yang timbul bergantung kepada situasi yang seseorang itu hadapi. Anda (pembaca) boleh juga ingin bertanyakan soalan tentang topik ni jika ada dan in sya Allah saya akan cuba menjawab sekadar semampu selepas mendengar pengisian dan melalui pembacaan. Jika saya tidak mampu menjawabnya saya akan bertanyakan soalan anda kepada yang lebih pakar in sya Allah.

Pengisian Kak Nur (Penceramah Jemputan)
p/s: mungkin akan ditambah sedikit pointnya oleh saya atas ilmu pembacaan yang saya ada.

Hukum Ikhtilat

Hukum asal ikhtilat pada pandangan ulama adalah Haram. Manakala, Dr. Yusuf Qaradhawi dan beberapa ulama lain menetapkan hukumnya Harus dengan syarat-syarat tertentu. Kata Kak Nur, jika dilihat memang nampak berbeza atau ada khilaf tetapi jika diperhatikan dan diteliti sebenarnya pandangan ulama yang mengatakan haram dan pandangan ulama yang mengatakan harus bersyarat sebenarnya mereka sepakat kepada benda yang sama. Walaupun yang mengatakan harus itu bersyarat, jika syarat-syarat ikhtilat itu tidak dipenuhi maka hukumnya akan jatuh haram juga, jelas Kak Nur. 

Kak Nur memberi perumpamaan ibarat kita terlihat seekor kucing putih tompok hitam yang comel. Ada orang yang mungkin akan memberi nama kucing tersebut Si Tompok kerana tompoknya, ada juga yang akan memberi nama Si Comel kerana kecomelannya maka begitulah juga dengan pendapat ulama yang mengatakan sesuatu hukum itu haram, makruh, harus dan selainnya. Jika ditelitikan cara tamsilan mereka, kita akan menemui persamaan pendapat antara mereka.

Apa yang Kak Nur cuba tegaskan di sini ialah, walaupun Dr. Yusuf Qaradhawi menetapkan hukum ikhtilat itu harus bersyarat tetapi jika syarat-syarat ikhtilat itu tidak dipenuhi maka akan jatuh haram jugalah untuk mereka yang berlainan jantina untuk berinteraksi antara satu sama lain tanpa sebab-sebab yang memerlukan mereka untuk berkomunikasi.


Pentingnya menjaga batas pergaulan demi kesejahteraan umat Islam

Cinta Adam dan Hawa

Kak Nur ajukan soalan kepada kami, adakah Nabi Adam dan Hawa bercinta sebelum bernikah? Kami menjawab "sudah tentu tidak" tanpa mengetahui benar atau tidak atas jawapan yang diberikan kerana atas dasar husnuzon (bersangka baik). Alhamdulillah memang itu sangkaan yang betul kerana Allah SWT telah menikahkan mereka berdua sebelum mereka berdua di izinkan bersama (bercinta). Ini bagi membuktikan bahawa ikatan yang sah di sisi Allah itu amat penting walaupun ketika itu memang mereka sahaja manusia yang ada. 

Islam itu agama fitrah yakni agama yang memang sesuai dengan naluri dan fitrah seorang manusia. Sudah menjadi fitrah bahawa si Adam (lelaki) pasti berkehendakkan si Hawa (perempuan) jadi dengan menghalalkan hubungan mereka dengan sesuatu ikatan yang diredhai Allah maka mereka juga akan merasa tenang dalam jiwanya.



"(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram"

(Ar-Ra'd 13:28)

Tafsiran Ulama 

Al-Mawardi mentafsirkan zikrullah” dalam ayat di atas bermaksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT. Manakala, Ibn Asyur  mengatakan  “zikrullah”   bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.

p/s: ulasan lebih lanjut tentang tafsiran ayat di sini.


Perempuan dan Rumahnya

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud

"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyah dahulu, dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai ahlulbait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya".
(33:33)

Ayat ini pada asalnya ditujukan kepada isteri-isteri nabi ketika itu namun ia sebenarnya turut merujuk kepada perempuan Islam. Maka Imam Al-Qurtubi mentafsirkan ayat ini menyuruh perempuan supaya tetap diam di rumahnya, manakalah Ibn Kathir mengatakan bahawa wanita hendaklah tinggal di rumah dan hanya keluar bila ada keperluan sahaja.

Kak Nur turut berkongsi pengalaman beliau ketika belajar di Jordan bilamana di pasar-pasar di Jordan kebanyakannya kaum suami/lelaki yang melakukan jual-beli barang keperluan rumah. Jarang sekali dilihat kaum isteri/perempuan samada yang menjadi penjual atau yang menjadi pembeli. Kak Nur turut menceritakan bagaimana beliau dan sahabat-sahabatnya terpaksa bersempit-sempit untuk mengelak daripada tersentuh ketika membeli barang keperluan. Maklumlah ketika itu mereka datang ke Jordan untuk menuntut ilmu dan masih lagi tidak bersuami. Apa yang cuba Kak Nur sampaikan ialah masih ada di sesetengah kawasan yang amat menjaga kaum wanita mereka daripada berlaku ikhtilat yang tidak diredhai Allah. Ini ditegaskan lagi dengan firman Allah SWT yang lain daripada surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud;

"Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk"
(17:32)

Perlu anda fahami Allah SWT tidak akan menetapkan sesuatu hukum kecuali ianya memang sesuai dengan fitrah hambaNya. Maka bersangka baiklah dengan Allah. Lagipun, Allah tidak melarang perempuan untuk keluar kecuali ada keperluan bukankah itu sudah jelas. Kenapa harus kita keluar rumah jika tiada keperluan? Keperluan itu boleh jadi bermacam-macam antaranya atas tujuan menuntut ilmu, berdakwah, mencari rezeki dan banyak lagi. Jadi ini sudah cukup membuktikan bahawa Allah itu tahu bagaimana hambaNya dan apa keperluan hambaNya. Therefore, I love Allah more for that such LOVE He gives me.


Perempuan ke masjid

Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah bersabda "Jangan larang perempuan kalian ke masjid tetapi keutamaannya adalah di rumah". Manakala Imam Bukhari dan Muslim juga turut meriwayatkan hadis yang sama dengan menjelaskan bahawa tidak wajib untuk perempuan ke masjid tetapi rumah mereka lebih baik. Imam Nawawi pula menjelaskan yang jika kaum perempuan pergi ke masjid haruslah mematuhi beberapa syarat seperti berpakaian baik, tidak bercampur lelaki perempuan dan jangan terlalu berwangi-wangian. 

Kesimpulannya, apa yang dapat saya fahami ialah tidak salah untuk wanita untuk solat di masjid namun rumahnya adalah lebih baik atas dasar-dasar ingin menjaga ikhtilat itu. Jika dikhuatiri dengan menghadirkan diri ke masjid hanya mengundang kepada tidak mampu menjaga ikhtilat (ie. memandang lelaki dengan sengaja, berhias-hias ke masjid untuk dilihat lelaki, mampu mengundang fitnah) maka eloklah solat sahaja di rumah. 

Jika kaum perempuan masih ingin menunaikan solat di masjid maka Rasulullah SAW ada bersabda dalam hadisnya riwayat Imam Muslim yang mengatakan "sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling depan dan sejelek-jeleknya ialah saf di belakang, manakala sebaik-baik saf perempuan adalah yang paling belakang dan sejelek-jeleknya ialah di depan". 

Dalam hadis yang sama juga Imam Nawawi turut menerangkan ini kerana ia dapat dilihat keadaan saf lelaki dan perempuan yang saling menjauh supaya tidak akan berlaku ikhtilat antara mereka. Tambahan lagi, pada zaman Rasulullah tidak punyai tabir di masjid jadi hadis tersebut menjadi panduan kepada mereka untuk mengelakkan sebarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan di tempat ibadah.

Kak Nur turut berkongsikan sirah Rasulullah apabila selesai solat, Rasulullah tidak akan terus bangun daripada tempat solat malah dia akan terus duduk. Para jemaah pula tidak akan berani bangun selagi Rasulullah tidak bangun. Tindakan Baginda tersebut adalah untuk memberi peluang kepada para muslimah untuk bangun dan pulang dahulu ke rumah mereka. Apabila Rasulullah sudah yakin bahawa tiada lagi muslimah di saf belakang maka barulah Baginda bangun untuk pulang dan para muslimin juga turut bangun. Ini semata-mata untuk menjaga ikhtilat dan kehormatan kaum wanita.

Apa yang dapat saya lihat di sini ialah saya jatuh cinta dengan peribadi Rasulullah SAW yang sangat memuliakan kaum hawa dan turut menjaga kehormatan mereka bagi pihak mereka. Ini jelas menunjukkan sifat gentleman Rasulullah sehingga sanggup untuk duduk dan tunggu supaya semua wanita pulang barulah Baginda bangun. Baginda tidak menyekat atau menghalang wanita daripada ingin turut beribadat kepada Allah secara berjemaah malah Baginda turut menunjukkan cara bagaimana kaum lelaki umumnya menghormati, menjaga dan melindungi kaum wanita. Subhanallah!!


Akhir kalam

Semoga dengan perkongsian refleksi daripada saya ni sedikit sebanyak dapat menambah ilmu kita tentang agama kita dan memudahkan untuk kita terus beramal dengan Islam yang kita anuti ini. Dan jangan segan untuk menegur jika terdapat kesalahan fakta dalam nukilan saya ini. Akhir sekali ingin saya kongsikan kata-kata daripada seorang senior saya;

"Islam is not the way of life, Islam is LIFE"

wallahu'alam

Sumber rujukan part mukaddimah

http://perkimclubnilai.blogspot.com.au/2009/08/apa-itu-ikhtilat.html

http://ixoramerah.wordpress.com/2011/03/09/akhlak-islamiyah/






Comments

Popular Posts