Sayonara OZ



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Dalam dunia ni semua benda ada regunya (pasangannya)
Lelaki regunya perempuan
Suka regunya duka
Sempit regunya luas
Dan banyak lagi

Tiada yang tiada regu, cubalah cari kalau jumpa
Kerana hanya Satu yang tiada regu iaitu Allah yang Esa
Ini semua membuktikan kebesaran Allah SWT bahawa tiada yang kekal abadi kecuali Dia

Begitu jugalah dengan kehidupan di Australia, yang mula pasti akan berakhir dan pada 2 December 2012 merupakan hari terakhir aku memijak tanah Sydney. Perasaan yang sukar digambarkan, sedih, sebak, bersyukur kini semuanya bercampur baur. Pelbagai pengalaman hidup yang mematangkan dan mendewasakan. Bumi ini walaupun bukanlah “Negara Islam” tetapi pengamalan dan penerapan Islam memang dapat dilihat dan dirasa. Baru seminggu tetapi aku sudah mulai rindu bumi ‘tarbiyah’ itu.

Mengenali makna tarbiyah

Aku menemui cahaya hidayahNya di bumi IPG lagi tetapi di Australia barulah aku mengenal apa itu tarbiyah sebenarnya. Ia bukan sekadar mengikut perintah Allah SWT tetapi mengikut perintahNya kerana cinta. Subhanallah! Nikmat cinta itu amat besar sekali. Apabila mengikut perintahNya kerana didasari cinta memang tiada terasa bebanan. Begitulah lumrah orang berkasih, kerana sayangkan seseorang sanggup belikan dia apa sahaja supaya dia sentiasa ingat kita, rindu kita, sayang kita dan jauh sekali meninggalkan kita. Mengikut syariat Allah SWT kerana cinta juga begitu. Kita akan ‘mabuk cinta’.

Aku juga mulai belajar banyak perkara tentang kehidupan yang sebenarnya memang related dengan Islam. Banyak! Memang semua benda dalam kehidupan ni kena relate dengan Islam. Cara senyum, cara urus niaga, cara berkawan, cara bercakap, cara berjalan, cara ketawa. Semua Islam dah ajar dan walaupun benda ni macam benda-benda kecil tapi ia memberi impak yang besar tambah-tambah lagi jika kita ini mengaku sebagai seorang da’ei. Ingat ye, Big thing starts with small things! Walaupun ia kelihatan mudah di mata kasar tapi untuk melaksanakan sesuatu itu amatlah payah. Sekarang barulah aku faham kenapa perlu cari pasangan yang berfikrah Islam supaya anak sejak kecil lagi terdidik dengan cara fikir Islam (aminn..).

Marjanul Jannah menjana Biah Solehah

Antara tarbiyah terbesar yang saya rasa paling terkesan ialah cara untuk sabar. Di sini, aku menghadapi pelbagai permasalahan terutamanya dengan sahabat. Andai dahulu aku tidak kisah kerana aku tidak merasa keberadaan sahabat itu penting tetapi sejak ‘terpaksa’ tinggal dengan mereka, belajar dengan mereka, makna kata mereka adalah keluargaku di perantauan maka banyaklah sifat-sifat yang baru menyerlah samada daripada aku atau mereka yang memang banyak mencabar sabarku. Jujur, aku bukanlah orang yang sabar malah aku orang yang reaktif, cepat bertindak balas dengan kelakuan, percakapan, gesture orang sekeliling. Jadi, apabila ada sahaja masalah aku memang akan tunjuk reaksiku dan reaksi yang paling kerap adalah ‘buat muka’ untuk mengeksprestasikan ketidakpuasan hati.

Mungkin disebabkan itulah aku ditempatkan oleh Allah di Marjanul Jannah dimana ahlinya terdiri daripada para du’at yang kental dan cukup sabar apabila diuji dengan kata-kata. Untuk tinggal bersama mereka merupakan suatu nikmat Allah SWT yang besar. Di Marjanul Jannah lah aku belajar untuk mengerti makna Sabar, walaupun kadang-kadang aku tidak mampu menahan reaktif ini tetapi Alhamdulillah aku belajar sedikit demi sedikit. Aku belajar untuk banyak mendengar daripada berbicara, aku belajar untuk diam walaupun mulutku ingin sahaja membalas kata kerana semuanya disebabkan tarbiyah yang telah dizahirkan kepada tindakan.

 Suasana biah solehah yang kami sama-sama cuba usahakan memang sedikit sebanyak membantu aku menjadi lebih dekat dengan Allah SWT. Kami cuba dan kami tidak sempurna, kami juga tidak mampu untuk solat malam setiap malam, kami juga tidak mampu untuk berpuasa sunat setiap isnin dan khamis, kami juga kadang-kadang tidak teratur urusannya. Dan kami sedar ada yang bercakap tentang kami tetapi tidak pernah cuba menempis tohmahan atau mungkin percakapan sinis terhadap kami kerana kami juga manusia yang sedang berusaha.

Sungguh, mungkin ada lagikah Marjanul Jannah nanti?
Semoga cinta ini disemai kerana kita sama-sama cintakan agamaNya
Semoga seisi MJ bakal menjadi daie yang kental lagi hebat di persada perjuangan Lillahi Taala. Doaku, semoga di Jannah nanti kita bisa bina lagi Marjanul Jannah dan insyaAllah saat dan ketika itu pasti lebih bahagia dan tenteram jiwa. Teruskan perjuangan! Sucikan niat!

OZ bumi tarbiyyah

Bagiku sendiri, Australia merupakan tempat yang memang baik untuk menyemai fitrah Islamiyyah dalam diri. Rata-rata masyarakatnya yang terdidik dengan nilai moral yang tinggi menjadikan suasananya aman, selamat dan sejahtera. Inilah nilai-nilai Islam yang memang sudah sebati dalam diri rakyat Australia kerana inilah namanya fitrah. Islam itu fitrah makna kata Islam itu memang dicipta bersesuaian dengan jiwa setiap makhlukNya. Antaranya;-
·      Tidak kira bagaimana latar belakang anda, pelik berpakaian sekalipun, nakal mana sekalipun, bertatu satu badan pun, tetap bayar tambang pengangkutan awam.
·      Pasti akan mendahulukan orang yang lebih tua atau kurang upaya
·      Saling bertolak ansur di jalanraya
·      Menghormati pejalan kaki
·      Rata-rata rumah di sini tidak mempunyai pagar dan tembok yang tinggi kerana jarangnya berlaku kes kecurian. Kes kecurian dilihat seperti kes yang sangat serius dan tak patut berlaku.
·      Jarang barang berharga hilang walaupun anda tertinggal ia di tempat yang menjadi tumpuan ramai spt di tandas, atas bus, restoren. insyaAllah walaupun 30 minit anda tertinggal dan datang balik di tempat tumpuan itu barang anda masih ada.
·      Tiada kes samun jalanan
·      Pengangkutan awam datang tepat pada waktu dan ada jadual perjalanan harian untuk rujukan penumpang
·      Ni paling penting, tiada mat rempit sebab motor pun memang jarang kelihatan.heheh

Sebenarnya terlalu banyak tetapi akan berjela lah post ini. Australia sebuah negara maju bukan sahaja dari segi pembangunan malah dari segi moral rakyatnya sendiri yang mempunyai mentaliti minda kelas pertama. Memang rasa selamat apabila tinggal di OZ dan tidak hairanlah mengapa semakin ramai orang di negara-negara membangun yang sanggup apply PR untuk tinggal di Australia. Antara rakyat negara lain yang banyak kelihatan di Australia adalah dari China, Indonesia, Thailand, Korea, Palestin, Turki, Lubnan dan tidak lupa juga Malaysia sendiri. Kebanjiran orang asing yang berpindah ke Australia menjadikan ia sebuah negara yang multiculture dan cukup warna warni.

Kesimpulan

Pengalaman hidup di bumi oz banyak mematangkan saya dan menjadikan saya insan yang perlu sentiasa ingat bahawa ini semua nikmat Allah swt. Kalau bukan kerana Dia, sudah tentu saya tidak akan dapat ke oz dan mendapat pengalaman hidup yang cukup bermakna. Tarbiyah ini menjadikan saya lebih peka terhadap permasalahan umat dan tugas berdakwah di bumi Malaysia masih banyak perlu dilakukan. Masih ramai yang terkongkong dek pemikiran-pemikiran yang liberal tanpa mengambil berat sisi Islam sedangkan Islamlah yang akan menyelamatkan kita dari terus terkongkong dan terkebelakang.



Itu sahaja. Jujur aku merindui suasana damai ‘perkampungan Macquarie’ =’)

Wallahu‘alam

Comments

Popular Posts