Virus-Virus Ukhwah (Part 1) – Ukhwah yang rosak?


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Disclaimer: Saya hanya sekadar menghuraikan secara ringkas tentang buku Virus-Virus Ukhwah ini dan juga bercerita tentang realiti sekarang, jika ingin mengetahui lebih mendalam tentang isi kandungan buku ini bolehlah membacanya dan ada versi pdf nya di internet.

Antara buku atau kitab terawal yang perlu  diterokai oleh setiap individu dalam kita melayari perjalanan tarbiyah (seperti usrah) ini adalah buku berkenaan tentang ukhwah. Kenapa ukhwah? Jika kita telosori kembali sirah Nabi SAW dalam menyebarkan Islam, Rasulullah sebenarnya bermula dengan menyebarkan cinta sesama mukmin (ukhwah). Saling mencintai antara mukmin ini jelas telah Allah tunjukkan dalam ayat-ayatNya;

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara” (Al-Hujurat:10)

Dan tahukah kita bahawa hanyalah Dialah yang mampu mempersatukan hati kita walaupun dahulunya kita bergaduh tetapi kini kita bersatu hati atau walaupun dahulu kita rapat sentiasa bersama tetapi kini bermasam muka tanpa bicara. Sedarlah sahabatku, andai kita berhabis duit, harta beribu riban untuk mendapatkan ‘ukhwah’ pun belum tentu kita akan dapat kerana hanya Dia yang berkuasa menyatukan hati-hati kita dan sebaliknya;

"Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah)
bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat itu, sebagai orang-orang yang bersaudara" (Ali 'Imran [3]: 103).

"Dia-lah (Allah) yang memperkuat dirimu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang orang Mukmin. Dan Dia Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang Mukmin). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka" (al-Anfal [8]: 62-63).

Tetapi hendaklah kita tahu bahawa kesatuan ini hanya akan terjalin kukuh andai tujuannya betul iaitu Lillahi Taala. Batu asas dalam pembangunan ukhwah ialah iman dan aqidah Islamiyyah. ‘Ukhwah’ selain dari itu seperti kawan untuk ketawa, menangis,harta, pangkat dan semua jenis kenikmatan dunia hanyalah bersifat sementara dan akan pudar. Jadi muhasabah kembali diri kita bahawa ‘ukhwah’ yang kita asaskan bersama sahabat baik kita sekarang ini bertunjangkan apa?

Jika benar matlamatnya adalah syurga dan niatnya semata-mata kerana Allah SWT, Alhamdulillah…

Tetapi harus diingat, walaupun niatNya kerana Allah tetapi tetap yang mengemudinya adalah manusia dan kita mengetahui bahawa manusia ini bersifat lemah dan pasti membuat khilaf. Ukhwah yang sudah lama terjalin pasti kadang-kadang mengundang ‘kebiasaan’ kepada kita. Dari situ kita akan mula lupa bagaimana untuk mengambil hatinya, bagaimana untuk mencintainya, bagaimana untuk berbicara dengannya dan sebagainya. Itu adalah perkara lumrah kerana manusia ini bersifat pelupa. Jadi sebagai panduan, Nabi SAW sudah memberi banyak gambaran bagaimana untuk menjalinkan ukhwah yang diredhai dan saling mencintai. Makna kata, selain dari mengetahui kemanisan ukhwah, kita juga perlu tahu virus-virus ‘ukhwah’ yang mampu merosakkan sesebuah hubungan cinta antara mukmin. Virus-virus ini saya petik dari sebuah buku ‘wajib baca’ buat para daie dan harus baca kepada semua bagi mendalami lebih lanjut lagi ukhwah yang dianjurkan oleh junjungan besar kita, Rasulullah SAW =)

‘Kuasa’ Sahabat

Insan yang bergelar sahabat ini mempunyai kuasa yang sangat menakjubkan sehingga kita memang akan terpengaruh olehnya. Terlalu banyak kata-kata pujangga daripada para sahabiah , tabi’ dan tabi’in tentang sahabat ini. Antaranya;

“Jika saya bertemu dengan salah seorang sahabat dekat , lalu tinggal bersama satu bulan bersamanya, tentu aku akan bertambah pandai kerana pertemuan itu”

“Gaulilah orang-orang yang baik jika dikau ingin bersahabat
ketahuilah,saudara yang membela itulah saudaramu
betapa banyak yang menjadi saudara
padahal mereka tidak terlahir dari orang tuamu
namun orang tua mereka seakan-akan orang tuamu”

Sahabat mempunyai daya pengaruh yang sangat kuat sebab itulah penting untuk kita mencari sahabat yang akan membantu kita mencapai redha Allah. Kerana sebab inilah syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia akan cuba merosakkan ukhwah hanya dengan mempengaruhi sahabat bagi merosakkan ukhwah yang sedia ada. Syaitan akan mula menghasut tentang ketidaksempurnaan sahabat itu dan ini, kesilapan sahabat itu dan ini terhadapmu, mengungkit kesalahan yang pernah sahabat itu perbuat terhadapmu semata-mata untuk menerbitkan rasa benci di benakmu terhadap sahabatmu.

Itulah tugas syaitan, yang lebih parah lagi apabila ada yang membenci sahabat ini maka diceritakan ketidaksempurnaannya, keburukannya terhadapmu kepada sahabat yang lain. Kita sering kali merasa bahawa kita sebenarnya sedang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seorang sahabat kepada sahabat karib kita tetapi sebenarnya kita sedang menyebarkan ‘rupa sebenar’ sahabat yang kita tidak suka itu kepada sahabat-sahabat yang lain. Ingat, sahabat ini mempunyai kuasa mempengaruhi yang amat dasyat jadi sahabat-sahabat yang lain yang mempercayaimu kerana cintakanmu dan yakin kamu teraniaya pasti akan memandang sahabat yang kamu tidak suka itu sebagai insan yang tidak baik dan patut dijauhi. Ini realiti dan malangnya ini terjadi bukan di tahap orang-orang biasa sahaja malah turut terjadi dikalangan pendakwah yang tegar berkata menyebarkan Islam tetapi sebenarnya masih lagi berburuk sangka terhadap sahabatnya. Lalu siapa yang ketawa, pastilah syaitan yang sudah berjaya merosakkan sebuah ukhwah yang mungkin sudah sekian lama terbina. Semuanya gara-gara buruk sangka yang dibisikkan syaitan.

Manusia memang sifatnya tidak sempurna

Kita harus bangun dari lena yang panjang, harus mengakui yang memang ada dikalangan sahabat kita yang memang kadang-kadang membuat kita sakit hati, selalu mengguris perasaan kita tetapi itu tidak menjadi lesen untuk kita membencinya dan menjauhinya terutamanya kepada para daei’ yang sedar bahawa hanya ada dua golongan di dunia ini iaitu daie’ dan mad’u. Persoalannya, pernahkah kita mendepaninya dan berbicara dengannya dari hati ke hati mengenai perasaan yang kita rasakan tatkala dia melakukan sesuatu yang kita tidak sukai? Jika tidak pernah, walaupun kita yang teraniaya tetapi kita sebenarnya lebih kejam kerana telah membencinya dalam diam dan menghindarinya. Ukhwah itu dibina atas ikatan cinta lalu apabila tiada cinta di satu pihak pasti di satu pihak lagi dapat merasainya. Percayalah bahawa mereka merasainya, mereka sedar mereka sedang dihindari, mereka sedar mereka sedang dibenci tetapi apakan daya mereka tidak mengerti kenapa.

Ukhwah tidak seindah dahulu?

Inilah antara penyebab utama kenapa ukhwah itu renggang dan pudar sinarnya. Kerana kita tidak pernah sedar silap kita dan kita juga sering tidak jujur terhadap sahabat kita. Yang menyakiti ada salahnya dan yang disakiti juga ada salahnya. Terlalu banyak yang menyakiti dan terlalu banyak juga yang memendam rasa. Tiada lagi senda gurau, tawa hilai kedengaran, pertembungan hanya diakhiri dengan ‘akward moment’ semata-mata. Tiada lagi saling meluah rasa. Akhirnya ukhwah itu tiada lagi. Siapa yang gembira?



Bersambung…



Wallahu’alam

Comments

Popular Posts