Virus-Virus Ukhwah (Part 2) - Kealpaan dan Kecintaan yang membinasakan


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Kewajipan sahabat menurut Abu ‘Atahiyah: Menyimpan rahsianya, simpati ketika dalam kesusahan, dan memaafkan kesalahannya.

Virus 1: Bersahabat kerana nikmat dunia

Adakah orang yang bersahabat dengan orang lain kerana nikmat dunia? Jawapannya ya, memang ada dan wujud. Saya dapat klasifikasikan 3 situasi bagaimana persahabatan seperti ini boleh terjadi.

1.     Seorang sahabat yang memang dari awal lagi mencari sahabat yang setaraf dengannya  atau lebih tinggi(nikmat dunia) daripadanya. Mereka mencari sahabat yang sama tahap kekayaan dunia atau mempunyai minat yang sama dalam sesuatu. Mereka ini jenis sahabat yang senang meninggalkan sahabatnya bila sahabatnya tidak lagi setaraf atau sealiran dengannya. Contohnya, mencari kawan dari golongan yang kaya atau popular supaya mereka juga kelihatan seperti kaya dan juga popular.

2.     Dua sahabat yang memang tulus bersama dan sukar berpisah kerana saling mencintai, tetapi apabila nikmat dunia itu datang menerpa, mereka saling berlawan untuk mendapatkannya. Ini boleh terjadi kepada semua dan contoh yang paling kerap kita lihat ialah dua sahabat yang bijak tetapi saling membenci dan iri hati apabila mengetahui sahabat ini mempunyai kelebihan di bidang itu dan ini dan saling berlawan untuk menjadi yang terbaik.

3.     Sahabat yang memang tulus mencintai sahabatnya, memang sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi kepadanya. Tetapi, tiba-tiba hatinya berubah apabila sering membandingkan dirinya dengan nikmat yang sahabatnya peroleh. Dia terlalu memandang tinggi nikmat yang sahabatnya peroleh dan dia selalu memandang rendah kepada orang yang kurang ketaatan kepada Tuhan berbanding dirinya. Ini bahaya, contoh yang boleh kita lihat apabila dia bersahabat dengan orang yang lebih kaya dan lebih berilmu, pada mulanya dia bersyukur dengan segala kurniaan Allah, namun lama kelamaan dia sentiasa membandingkan dirinya dengan sahabatnya, dia lebih pandai, lebih kaya, lebih berilmu. Sehingga pada satu tahap dia memandang rendah kepada orang sekeliling yang lebih miskin, tidak pandai, tidak beramal dengan agama berbanding dirinya yang lebih ‘warak’.


Semakin kita cintakan dunia, semakin hilang sifat itsar. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

“Seseorang di antara kamu tidak beriman (dengan sempurna) kecuali setelah mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Semua situasi-situasi di atas amat berbahaya dan hanya mengundang sifat egois dalam diri, menjadikan kita lebih mementingkan diri sendiri dan tidak lagi mengamalkan itsar(mendahulukan orang lain) terhadap orang lain.

Maka, perlu untuk kita sentiasa menyuburkan iman kita dengan sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-mengingatkan antara sahabat kita supaya matlamat dan tujuan ukhwah kita tidak lari dari landasan sebenar.


Virus 2: Berukhwah tetapi lalai dalam melaksanakan ibadah kepada Allah

Keasyikan dengan perkara-perkara lagha

Ingat kembali bahawa kita berukhwah kerana Allah. Jadi, sepatutnya ukhwah itu membawa kita lebih mendekati dan mencintai Allah dan bukan sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah berpisah, kecuali disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh  salah seorang diantara keduanya”

(Riwayat Bukhari)

Matlamat berukhwah itu sendiri kerana Allah jadi perlunya kita untuk sentiasa menyuburkan ukhwah itu dengan dzikir, mengingati tentang kebesaran Allah, saling mengingatkan tentang perkara yang disuruh dan dilarang olehNya. Jika tiada seperti perkara di atas, maka ukhwah itu akan membawa kita kepada lagha semata-mata. Apa contoh perkara-perkara lagha? Suka bergossip, melepak, terlalu banyak bergelak ketawa dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak berfaedah yang dilakukan bersama. Perlu kita tahu beza ye, melakukan aktiviti faedah itu banyak, bukan sekadar berbulatan gembira sepanjang masa, boleh jadi anda membuat aktiviti lasak seperti mendaki bukit atau berjaulah di tempat-tempat yang menarik, berkelah di pantai dan banyak lagi. Ia tetap boleh menjadi aktiviti yang mengeratkan ukhwah asalkan didasari dengan matlamat yang jelas. Apabila terlalu banyak perkara lagha yang dilakukan bersama maka hati akan jadi keras dan cepat bosan dengan ukhwah itu. Akhirnya ia hanya mengundang perselisihan dan tiada lagi persafahaman dalam persahabatan.

Kadang-kadang, keretakan sesuatu ukhwah itu bukan sahaja berlaku disebabkan oleh masalah yang berlaku dalam hubungan itu. Ada juga keretakan ukhwah berlaku kerana seseorang individu itu makin menjauhi nilai-nilai hidup Islam. Contohnya, sahabat kita ini tiba-tiba ditimpa krisis kewangan. Lama-kelamaan sikapnya mulai berubah, sentiasa marah, mengeluarkan kata-kata kesat dan nista serta banyak lagi sifat buruk yang terlahir dek ujian yang menimpa. Sudah pasti sahabat itu akan menjauhinya kerana mulai hilang hormat dan percaya terhadap sahabatnya tadi. Mungkin ada yang berfikir tidak sepatutnya sahabatnya lari daripadanya dan patut membantunya. Kita harus ingat, ujian itu diturunkan untuk meningkatkan keimanan lalu dimana sifat yang lebih proaktif yang patut ditonjolkan apabila menimpa masalah. Satu hal lagi, manusia ini fitrahnya pasti ingin mencari sahabat yang baik dan menyayanginya. Jika hilang kasih sayang itu dek sifat negatif seperti ini lalu siapa yang patut dipersalahkan?

Terdapat satu kata pujangga oleh cendekiawan Islam yang berbunyi:

“Sahabat lebih kami cintai daripada keluarga sendiri, kerana sahabat mengingatkan kita akan akhirat, sedang keluarga mengingatkan kita akan dunia”

Perlu difahami, ini bukan bermakna keluarga itu mendorong kita ke arah keduniaan semata cuma secara logik akal, kecintaan kita terhadap keluarga itu menjadikan kita kadang-kadang lupa akan akhirat kerana bahagia bersama keluarga itu cukup mengasyikkan. Jadi, di dalam konteks sahabat, jika sahabat juga mengasyikkan dunia kita lalu siapa lagi yang akan mengingatkan kita akan akhirat?

Maka, tidak menjadi kesalahan apabila ada sahabat yang terpaksa melarikan diri daripada sahabatnya jika sahabatnya tidak lagi mencerminkan nilai-nilai Islam seperti menghormatinya dan menyayanginya kerana Allah. Renung-renungkanlah sahabat jenis yang bagaimana yang ingin kita jadi untuk sahabat kita? Tidak perlu menunding jari, hanya perlu tanya diri sendiri.


Mahabbah Imani vs Mahabbah Syaitaniyyah

Selama cinta itu dibangunkan atas matlamat menuju Allah swt, yakinlah bahawa ia tidak akan putus dan akan terus kekal walaupun perpisahan jasad berlaku antara dua sahabat. Namun, kita tetap harus berhati-hati dengan syaitan kerana kelicikannya tidak dapat dinafikan. Jika dia tidak dapat menyesatkan manusia melalui jalan maksiat, maka dia akan cuba menyesatkan manusia melalui jalan yang ‘diredhai’. Syaitan akan cuba menjadikan cinta yang asalnya kerana Allah menjadi kerana nafsu. Bagaimana? Inilah mahabbah syaitaniyyah ( cinta yang didorong oleh nafsu syaitan).

Syaitan akan menambahkan kecintaan kita sehingga kita akan terlalu mencintai sahabat kita. Terlalu mencintai sahabat sehingga tidak sanggup berpisah, sering terbayangkan sahabat kita termasuklah ketika kita sedang melaksanakan ibadah seperti solat. Ketika solat pun kita masih teringatkan sahabat kita sedangkan kita tahu yang solat adalah saat untuk kita ‘berdua’ dengan Allah. Antara contoh-contoh yang lainnya, kita ingin sentiasa melakukan ‘ibadah’ bersama sahabat kita, ingin bertilawah bersama bukan kerana ingin dekat kepada Allah tetapi kita tahu hanya dengan melakukan ibadah-ibadah yang sahabat kita sukai maka kita dapat merapatinya dan sentiasa dengannya. Ada juga keadaan apabila kita terlalu mencintai sahabat itu sehinggakan apabila sahabat itu merapati orang lain, kita akan berasa cemburu dan tidak suka. Inilah cinta kerana nafsu walaupun pada sangkaan atau pandangan orang awam ia kelihatan seperti satu ukhwah yang manis. Namun siapa yang tahu isi hati kita melainkan Allah SWT?

“Dia (Allah) mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa-apa yang
disembunyikan oleh hati”
(Al-Mukmin: 19)
Maka, kita perlu berhati-hati terutamanya para da’ei yang kerjanya adalah menyebarkan cinta Allah SWT. Kita perlu sentiasa mensucikan niat setiap perlakuan kita kerana Allah. Orang yang faham Islam dan menyedari apa yang sedang berlaku dalam hatinya maka dia akan terus memikirkan cara penyelesaiannya. Antara penyelesaian yang di suggest kan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah berdoalah ketika waktu doa mustajab dan berserah dirilah kepada Allah swt. Beliau berkata lagi, “Jika penyelesaian masalah ini menuntut seseorang untuk meninggalkan sahabatnya, dengan cara berhijrah ke negeri lain sehingga tidak lagi menjumpainya, mengetahui beritanya, terbebas dari perasaan yang mengikat dan pengaruhnya, maka hendaklah ia menempuh cara ini agar dapat menyelamatkan agamanya”.

Perlu kita sedar bahawa penyakit al-‘isyq (rasa cinta dan suka yang berlebihan) ini telah melanggari syariat Islam dan mampu merosakkan ukhwah islamiyyah. Kita harus berhati-hati dalam berkasih sayang supaya matlamatnya jelas kerana Allah dan jangan biarkan cintamu ternoda. Allah pasti akan berbicara dengan kita dan hati kita juga merasa sesuatu jika sesuatu itu salah. Yang menjadi persoalan, bagaimana untuk bertindak terhadap perasaan kita sendiri. Allah tahu apa yang ada di benak hati kita maka jujurlah dengan Nya.

Kesimpulan

Inilah dua virus pertama yang dibincangkan dalam buku Virus-Virus Ukhwah, perlulah kita banyak mencari ilmu agar hati kita kuat untuk melawan tipu daya syaitan yang nyatanya kuat. Kuatkan pemahaman kita terhadap Islam dan semoga kita terselamat daripada sifat tercela.



“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu agar terhindar dari mencintai kerana-Mu, sementara Engkau benci atau murka kepadaku”

[Doa yang sering diucapkan oleh seorang ulama - Muhammad bin Wasi’ rahimahullah]


Wallahu’alam

Bersambung…

Comments

Popular Posts