Virus-Virus Ukhwah (Part 3) - Kata itu ibarat pedang yang menghiris


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

Virus 3: Tidak Santun dalam Berbicara

Apabila ukhwah itu telah selesa dan serasi maka kebanyakan daripada kita pun akan mula berasa selesa dan tidak ada lagi rasa awkward dengan sahabat kita. Ini bagus tetapi yang menjadi masalah apabila kita makin lupa untuk menjaga hatinya. Keselesaan atau ‘bersikap tanpa beban’ ini menjadikan kita mudah menuturkan kata-kata tanpa memikirkan kesannya.

Terdapat banyak contoh-contoh penuturan yang tidak berlandaskan syariat yang akhirnya menghancurkan sesebuah ukhwah yang terjalin. Jadi, penting untuk kita mengetahuinya dan buat refleksi diri agar kita belajar untuk menjadi sahabat yang lebih baik.

A) Meninggikan suara & kasar bahasanya

Wasiat Luqman kepada anaknya:

“Dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya suara yang paling jelek adalah suara keldai”
(Luqman 31:19)

Sering kali terjadi dalam kehidupan kita apabila sudah terlalu ‘biasa’ dengan sahabat karib kita maka kita lupa untuk menjaga tutur bicara kita. Kita makin mudah menuturkan kata-kata yang mungkin mennyakiti hati dan perasaannya.

Jika kita ini benar ingin mencontohi Rasulullah SAW bahawa kita perlu sedar bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah berkata-kata dengan perkataan yang menyakitkan hati. Hal ini ada dalam hadith sahih. Malah, Baginda turut bersabda “Harumkanlah kata-katamu”.

Kita perlu sentiasa beringat bahawa kata-kata yang kurang baik dan kasar hanya menyerlahkan lagi sifat negatif pada diri kita juga pada pandangan orang sekeliling. Jagalah tutur bicara kita dengan sahabat-sahabat. Mungkin pada gurauan pertama dia tidak kisah tapi bolehkah kita pasti bahawa dia tidak akan terasa apabila terlalu kerap kita mengucapkan kata-kata yang kasar terhadapnya?

B) Tidak ingin mendengar pendapatnya, tidak bersemuka ketika berbicara, tidak memberi/menjawab salam dan tidak menghargai keberadaannya

Hal ini juga tidak kurang pentingnya buat kita, kita sering melakukan sesuatu perbuatan yang dianggap remeh (ukhwah) sedangkan ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk menjaganya andai kita tahu.

Memotong kata-kata ketika sahabatmu sedang meluahkan buah fikiran atau rasanya merupakan sesuatu yang boleh dianggap biadap. Begitu juga apabila kita berpaling daripada melihat wajahnya. Ia boleh melahirkan rasa tidak puas hati atau kecewa sahabat kita terhadap kita. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik apabila Baginda menghormati sesiapa saja yang ingin meluahkan buah fikiran kepadanya termasuklah dari kalangan orang musyrik yang bernama Utbah. Malah, Baginda bertanya samada dia sudah selesaikan ucapannya atau belum sebelum Rasulullah SAW menyambung bicaranya.

Tidak beradab untuk kita memonopoli sesuatu conversation sedangkan sahabat kita juga punyai haknya untuk bersuara. Perlu kita ingat bahawa orang tidak kira bagaimana status sosialnya perlu kita hormati dan hargai bahkan anak kecil yang bercakap sekalipun perlu kita dengari dan tidak memotong kata-katanya. Tiada orang suka dirinya diperlakukan seperti tidak penting atau dihina.

Ada juga yang berpendapat bahawa tujuan dia tidak memberi tumpuan kepada sahabatnya yang bercakap itu adalah supaya sahabatnya itu tidak menjadi sombong dan bongkak. Pesan ilmuan salaf, kamu tidak perlu memuji mereka, cukuplah sekadar kamu menunjukkan penghargaan kamu terhadap mereka dengan mendengar kata-kata mereka.

Begitu hebatnya santunan Rasulullah SAW apabila Baginda menegur anak kecil dengan namanya:

“Hai Abu ‘Umair, apa yang dilakukan burung kecil itu (nughair)”

Apabila kita berbicara dengan tutur kata positif, melihat wajahnya ketika berbicara dan tidak memotong kata-katanya maka ia turut mengeratkan lagi ukhwah selain melahirkan rasa hormat kepada sahabatnya.


C) Bergurau berlebihan

Bergurau itu mengindahkan sebuah persahabatan tetapi apabila ia dilakukan secara berlebihan hingga tidak menghiraukan perasaan sahabatnya maka ia akan jadi virus barah dalam ukhwah. Hilang rasa cinta dan hormat terhadap kita kerna kita sering mengungkapkan kata-kata gurauan yang keterlaluan.

Di antara perkara-perkara yang kita patut elak daripada menjadikan ianya sebagai bahan senda gurau ialah memukul sahabat kita sehingga ia memberi kesan (sakit), melontarkan kata-kata pedas, membicarakan tentang ketidaksempurnaan sifat lahiriahnya, rahsia peribadi dan keluarganya serta memanggilnya dengan nama yang tidak disukainya.

“jangan terlalu sering bergurau, kerana jika hal itu kamu lakukan, maka orang-orang bodoh akan menghinamu, sementara orang-orang bijak akan membencimu”

Ini yang sering terjadi, walaupun pada zahirnya kita tidak nampak wajahnya berduka namun siapa yang tahu saat kita menggelarkan dia dengan gelaran pendek, kurus, gemuk, montel dan sebagainya itu saat hatinya terasa. Mungkin semalam moodnya baik tapi mungkin hari ini moodnya tidak baik. Sering berlaku apabila kita sentiasa mengulangi gelaran yang pada awalnya dia tidak ambil pusing namun apabila sentiasa dilafazkan maka hatinya terluka.

Satu lagi tabiat yang perlu kita hindari ialah sindir menyindir. Sekarang ni sudah menjadi trend di kalangan muda mudi menggunakan sindiran bukan tujuan untuk menegur perbuatan yang salah tapi lebih kepada ingin membuat hati seseorang itu terasa. Diceritakan di dalam Al-Quran dalam surah An-Naba apabila ada di kalangan mereka yang tidak mempercayai Islam menyindir apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW, kemudian Allah menurunkan surah ini untuk mengutuk mereka dengan sindiran yang maha dasyat sehingga pada akhirnya mereka terdiam sendiri kerana ketakutan yang amat sangat.

Kata-kata yang sering digunakan ialah seperti ‘untunglah’, atau apa-apa sahaja gaya bahasa yang dapat kita fahami itu merupakan satu sindiran yang sinis yang menyakitkan hati orang sekeliling. Tiada untung pun apabila kita menyakiti hati orang lain malah kita yang akan terasa lebih sakit kerana selepas itu jika sahabat kita mula menjauhkan diri daripada kita kerana ‘takut’ disakiti maka saat itu kita yang akan mula menyesal dan menagih kembali cinta ukhwah itu.


D) Sentiasa berdebat dan membantah

“jangan mencemoh orang bijak atau bodoh, kerana orang bijak
akan membencimu, dan orang bodoh akan menyakitimu”

Secara ringkasnya, sering berdebat ini akan terjadi apabila dua sahabat tidak mempunyai pandangan atau aliran yang sama dengannya. Sering terjadi apabila kita menganggap bahawa apa yang kita percaya dan yakini itu benar dan betul sehingga apabila ada pihak yang cuba memberi pandangan dari sisi pandangannya, kita jadi cepat melatah dan terus ingin berlawan kata.

Inilah salah satu cara untuk kita membangkitkan rasa benci sesama sendiri sehingga tiada lagi cinta dalam sesebuah ukhwah. Melihat kepada persekitaran saya, banyak berlaku apabila para da’ei yang berlainan gerakan yang sering mencari salah satu pihak lagi. Walaupun kita bijak berhujah tetapi jika tujuan berhujah itu hanya untuk melumpuhkan dan mengalahkan pihak yang berbeza pendapat daripada kita jadi apa hasil kita? Ramai manusia yang suka berhujah/berdebat tapi jarang sekali diantara mereka yang sambil berhujah itu menyebarkan cinta. Sayang seribu kali sayang, hasil hujahan yang kita menangi adalah kemusnahan sebuah ukhwah.

Andai kita ini berada di pihak benar sekalipun, tapi jika kita cepat saja melatah dalam menegakkan kebenaran juga ada risikonya. Jangan terlalu keras kepala sehingga menolak kata-kata orang lain. Ubahlah paradigm “Putih kataku putihlah, hitam kataku hitamlah”. Ia hanya satu lagi bukti anda sukar menerima teguran dan sentiasa ingin menang. Manusia ini adalah makhluk yang ada perasaan dan hati, walaupun fikiran yang waras mengatakan hujahmu itu benar tetapi hati yang terluka tetap akan menolakmu. Jadi, da’ei itu perlu kuat sabarnya dan jangan terlalu terserlah emosinya kerana syaitan memang suka menambahkan lagi rencah perasa kepada perasaan yang negatif.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah orang yang sangat keras kepala dan selalu membantah”

(Riwayat Bukhari)


E) Kritikan yang keras dan melukai

Mengkritik itu perlu tapi penting juga untuk kita mengetahui bagaimana cara yang terbaik untuk mengkritik agar sahabat kita tidak terluka malah gembira menerima kritikan yang membina daripada sahabatnya. Elakkan daripada terus mengkritik kekurangan atau kesilapan sahabat tanpa mempedulikan perasaannya.

Menurut Dr. Abdullah Al-Kathir rahimahullah, “ semua orang menyukai siapa sahaja yang mengoreksi kesalahannya tanpa melukai perasaan”. Beliau juga turut memberikan contoh terbaik bagaimana untuk mengkritik sahabat yang lain iaitu mulai dengan memuji hasilnya yang memang layak untuk dipuji dan kemudian barulah diteruskan dengan kritikan di bahagian-bahagian yang perlu diperbetulkan sahaja.

Contoh: Seorang suami menyediakan teks ceramah yang memang panjang dan penuh perkataan yang terlalu spesifik yang mungkin akan membosankan pendengarnya lalu ditanyakan pendapat isterinya. Isterinya menjawab “teks ini lebih sesuai dijadikan artikel penuh sebuah majalah kerana lengkap dengan segala informasi”. Jadi sedarlah si suami bahawa teks beliau terlalu berat untuk dibentangkan di khalayak umum.

Lihat kepada cara si isteri itu tadi, beliau menggunakan cara pujian dimana ditonjolkan sisi-sisi positif dan kelebihan sesuatu objek itu berbanding membangkitkan negatifnya. Ini menyedarkan suaminya bahawa teks beliau terlalu detail dan bakal membuat para hadirin mengantuk dan tidak ingin memberi perhatian terhadap ucapannya nanti.

Begitu jugalah dengan pergaulan kita bersama sahabat-sahabat, jika mereka meminta pendapat tentang sesuatu pekerjaan mungkin boleh kita katakan pada mereka, “kamu paling sesuai untuk melakukan kerja di bahagian ini berbanding bahagian itu…” , “ saya setuju dengan cara kamu…tetapi ada sedikit sisi yang ingin saya beri pendapat…” dan banyak lagi. Kaedah ini dinamakan penulis sebagai “Kita awali dengan perkara yang disepakati, baru kemudian membicarakan perkara-perkara lain”.


Kesimpulannya, kata-kata itu ibarat pedang yang bisa menghiris hati. Jagalah hati nescaya sama-sama kita peroleh ketenangan =)


Wassalam

bersambung...

Comments

Popular Posts