Peluntur Dosa

Assalamualaikum w.b.t

Musim kenduri kahwin ni pasti ramai yang menerima jemputan untuk menghadiri majlis kesyukuran sahabat-sahabat atau saudara mara kan? Jadi sedang enak kita menjamu selera tiba-tiba kuah gulai tertumpah atas pakaian yang kita pakai. Pernah berlaku tak? Ia berlaku kepada saya baru-baru ini dan umum mengetahui bahawa gulai yang berminyak itu agak sukar dihilangkan jika kita tidak bersegera membersihkannya dan itulah yang saya lakukan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah, terus tudung itu saya basuh. Ini bagi memastikan kotoran itu akan cepat tanggal dan tidak menyerap ke dalam fabrik yang mungkin jika dibiarkan lama, kotoran itu pasti susah untuk ditanggalkan.

Jadi bahan peluntur telah digunakan untuk memudahkan proses tersebut kerana air sahaja tidak mencukupi. Tambahan lagi air tidak ‘mesra’ dengan minyak jadi kita perlukan agen peluntur yang boleh membantu menghilangkan kotoran pada fabrik kita. Selepas mengunakan peluntur, senang sahaja kotoran berminyak tadi tanggal dan hati saya pun rasa tenang dan gembira.

Itu peluntur kotoran, bagaimana pula dengan peluntur dosa? Pernahkah kita terfikir bagaimana kita mahu melunturkan dosa-dosa kita. Ya, dosa kita boleh dilunturkan juga sekiranya kita ingin membersihkannya. Dosa analoginya sama dengan kotoran yang terpalit pada pakaian tambahan lagi jika pakaian itu putih pasti kita akan bersegera untuk membersihkannya bukan? Manusia ibarat kain putih saat dilahirkan tetapi pasti sepanjang perjalanan kehidupan kita di dunia ni kita tidak akan lari daripada dipalitkan dengan kotoran-kotoran dunia.

Untuk melunturkan dosa-dosa dunia yang kita ‘kutip’ seharian menjalani kehidupan sebagai seorang hamba tak lain tak bukan ialah dengan bersolat. Solat itu ibarat agen peluntur. Sabda Rasulullah SAW;

“ Sesiapa orang Muslim yang apabila masuk waktu solat fardhu dia berwuduk dengan sempurna, khusyuk dalam solat dan rukuknya, pasti ia(solat) menjadi kafarah(penebus/peluntur) kepada dosa-dosa yang telah dilakukannya selagi dia tidak melalukan dosa besar. Ia berterusan selama-lamanya”

 (Riwayat Muslim)

Apakah sebab kita mandi? Untuk menghilangkan kekotoran dan untuk membersihkan badan kan, jadi biasanya kita akan mandi tiga kali sehari dan itupun dikira paling banyak kali kita mandi dalam sehari. Jadi bayangkan jika kita mandi lima kali sehari, apa perasaan kita? Pasti kita rasa sangat bersih dan segar setiap kali selepas mandi. Begitu jugalah fungsi solat, untuk membersih dan menyegarkan kita. Rasulullah SAW memberi perumpaan solat itu seperti sebatang anak sungai  yang menjadi tempat kita mandi lima kali sehari;

“Apa pandangan kamu jika terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah kamu di mana kamu mandi di dalamnya lima kali sehari, adakah masih ada lagi kotoran?” Mereka menjawab: “ Tiada lagi kotoran yang tinggal”. Baginda bersabda: “Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, Allah menghilangkan segala kesalahan dengannya”

Jika kita melihat mandi dan membersih pakaian yang kotor itu sesuatu yang ‘wajib’ kita lakukan dalam kehidupan seharian maka solat itu jauh lebih wajib dan utama untuk dilaksanakan, perumpamaan – perumpamaan yang diberikan hanyalah sekadar ingin memudahkan konsep solat yang harus kita fahami tetapi ketahuilah bahawa solat itu jambatan kita untuk perjalanan kehidupan yang abadi.

Solat itu menyebutnya memang mudah tetapi untuk melaksanakannya bukan semua mampu. Sesiapa sahaja boleh menjadi Muslim dengan mengucap kalimah syahadah tetapi hanya orang Mukmin sahaja yang mampu melaksanakan solat. Di dunia ini ramai orang Islam yang dermawan, membayar zakat, mengerjakan haji dan bersedekah kepada orang miskin di luar sana, tetapi seseungguhnya walaupun dilakukan semua rukun Islam yang lain tetapi meninggalkan solat maka semuanya hanya sia-sia.

Solat pula bukanlah solat yang kita bermalas-malasan dalam melaksanakannya kerana sesungguhnya itu salah satu ciri-ciri orang munafik apabila seseorang sekadar melakukan solat untuk menunjuk-nunjuk supaya mereka disangka orang yang beriman. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 142.

Mengapa tak khusyuk?

Kebanyakkan daripada kita sangat sukar untuk mendapatkan khusyuk dalam solat dan saya juga tidak terkecuali. Kadang kala dalam solat lah teringat tentang benda yang hilang, memikirkan masalah yang tak selesai dan mungkin juga berkhayal. Allah itu Maha Besar tetapi kenapa kita tidak meletakkan Allah SWT di tempat yang sepatutnya. Dunia ini hanyalah tempat ujian dan permainan buat hambaNya jadi jika dalam solat pun kita masih memikirkan tentang masalah dunia maka sebenarnya kita tidak melihat Allah itu Besar sebab masalah kita itu lebih ‘besar’ sehingga terbawa-bawa dalam solat. Ayuh kita refleksi diri! Allah itu Maha Besar malah yang menguasai seluruh alam jadi masalah kita itu tidak sebesar mana jika nak dibandingkan dengan setiap penciptaan Allah di muka bumi ini. Tapi kita alpa, lalai dan leka dengan kesenangan dan kepayahan dunia sehingga kita buta melihat bertapa Besarnya Allah SWT dari segala segi.

Khusyuk itu berkait dengan iman kita, sedalam mana Allah dalam hati kita? Persoalan itu ada dalam diri kita sendiri dan hanya Allah yang tahu...

Solat berlantaikan batu dan berbumbungkan langitNya. Tenang =)


Wassalam

p/s: cuti kali ini cukup mengujiku..Semoga Allah bersamaku...



Comments

Popular Posts