Hauna & Salama


Alhamdulillah pada 23 Ogos 2014, saya diberi kesempatan untuk mengikuti salah satu program anjuran Rumah Ngaji yang diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Shah Alam Seksyen 13. Rumah Ngaji ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak mengadakan program berbentuk majlis ilmu di sekitar Selangor dan KL terutamanya di Shah Alam. Alhamdulillah, ini program pertama anjuran Rumah Ngaji yang saya hadiri dan Alhamdulillah sangat bermanfaat. Boleh like page mereka di Rumah Ngaji.

Program yang saya sertai kali ini dinamakan “Family BBQ : Ibu Bapa Ar-Rahman”, BBQ di sini membawa maksud “Bincang, Baca, al-Quran” dan ayat kupasan kali ini ialah dari surah Al-Furqan ayat 63 yang dikupas oleh Tuan Fazrul Ismail. Jadi saya sekadar menyampaikan kembali apa yang saya perolehi dan turut berkongsi serba sedikit pengalaman sendiri supaya menjadi ingatan buat diri saya dan semoga bermanfaat buat sahabat-sahabat sekalian. 



Bismillahirrahmanirrahim


Salah satu daripada 99 nama Allah Azza Wa Jalla ialah Al-Muntaqim (Maha Menghukum/ Maha Memberi Pembalasan) namun rahmat dan kasih sayang Allah Azza Wa Jalla itu melebihi sifat Al-Muntaqim ni dan Allah Azza Wa Jalla membuktikan kecintaanNya kepada kita dengan surah Al-Furqan yang bermaksud membezakan yang haq dan yang batil. 

Analoginya begini, jika kita sayangkan seseorang seperti ibu ayah yang sayangkan anaknya, apabila anaknya membuat kesalahan adakah ibu ayah terus menghukum atau paling teruk memukul/mencubit mereka? Seorang ibu atau ayah yang penyayang pasti akan menasihati anaknya dahulu sebelum bertindak memberi hukuman. Maka kasih dan sayang Allah lebih besar lagi dari sekadar itu, Allah memberi peringatan dan amaran awal-awal lagi kepada manusia supaya tidak melakukan perkara yang ditegah bahkan Allah Azza Wa Jalla memberi kita peluang bertaubat sebelum kita meninggal untuk kita memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah Subhana wa Taala. Jadi, usah kita merasakan Allah Azza Wa Jalla kejam (nauzubillahi min zalik) kerana Allah Azza Wa Jalla menyayangi kita melebihi diri kita sendiri menyayangi kita. Dia mahu kita ke syurgaNya jadi kenapa perlu bersifat kejam terhadap diri sendiri. Bukan Allah yang membinasakan diri kita bahkan kitalah yang merelakan diri kita dibinasakan. Allahuakbar!


Ayat 63 dari surah Al-Furqan merupakan ayat pertama yang menerangkan tentang sifat-sifat Ibadurrahman, ia bermula dari ayat 63 hingga ayat 77. Saya sendiri pernah membentangkan topik ini dalam usrah saya namun sekadar berdasarkan pembacaan ringkas sahaja dan bukanlah spesifik seperti yang saya ikuti dalam sesi BBQ ini.

Jom baca ayat ini:






wa ‘ibadurrahmaanillazina yamsyuna ‘alal ardhi hauna, waiza kho thabahumul jaahilu naqolu salaama.

Ertinya: Adapun hamba-hamba Tuhan yang Maha Pemurah itu adalah orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata menghina), mereka mengucapkan salam.

Hauna & Salama 

Dalam ayat ini ada dua sifat ‘ibadurrahman yang diketengahkan oleh Allah Azza Wa Jalla dan dua sifat ini mesti berjalan seiring tidak boleh salah satunya kerana jika yang pertama tidak diamalkan maka yang kedua tidak akan wujud.

Sifat pertama ialah “hauna” pada ayat ini;


“berjalan di bumi dengan rendah hati

“Hauna” membawa maksud rendah hati/ rendah diri atau yang kita sedia maklum tidak sombong/angkuh. Sifat sombong adalah sifat hati yang amat merbahaya. Kerana kesombongan syaitan dihalau dari syurga, kerana kesombongan firaun ditenggelamkan dan kerana kesombongan jugalah Qarun ditimbus oleh hartanya sendiri. Kita mengambil iktibar dari sejarah yang telah membuktikan sifat sombong tidak akan membawa manusia ke tahap yang lebih baik malah sifat ini hanya akan merosakkan diri pada akhirnya.

Maka, sifat pertama yang perlu ada pada setiap jiwa 'ibadurrahman (hamba Ar-Rahman) ialah ‘hauna’. Sifat ‘hauna’ ini sifat yang tidak boleh dilihat kerana ia sifat yang perlu diterap di dalam hati. Maka ‘hauna’ akan terzahir melalui perbuatan sifat yang kedua dalam ayat ini iaitu ‘Salama’.


“dan apabila orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan salam

“Salama”  membawa maksud yang cukup banyak seperti sejahtera, selamat dan ‘salama’ juga merupakan sifat zahir di dalam ayat ini dimana jika seseorang yang jahil melayan kita dengan buruk maka kita tidak membalas perbuatan mereka malah kita tetap melayan mereka dengan baik. 

Analoginya seperti ini, jika anak menangis, membuat bising dengan kuatnya di khalayak ramai, anak itu kita kategorikan sebagai jahil (tidak tahu) kerana mereka hanya memikirkan keinginan mereka sendiri sahaja dan tidak endah akan persekitaran. Sebagai ibu bapa apa perasaan kita ketika itu? Pasti ada rasa geram, malu dan nak marah anak sebab buat bising dan pendekatan yang selalu diambil ialah memarahi kembali anak itu. Berbeza dengan ibu bapa yang bersifat dengan sifat ‘hauna’ dan ‘salam’, mereka tahu anak mereka jahil dan demikian itu mereka menggunakan pendekatan memujuk dan memeluk anak itu supaya kembali reda tangisannya.


Begitulah juga apabila kita berada dalam kalangan masyarakat. Apabila masyarakat yang jahil menyakiti kita contohnya seperti memburuk-burukkan kita atau memalukan kita, pasti dengan mudahnya nafsu kita merasa marah bukan? Tapi tidak bagi yang memiliki sifat ‘hauna’ dan ‘salama’ ini. Kerana mereka tahu yang memburukkan mereka itu jahil(tidak tahu hakikat sebenar) maka tidak menjadi sesuatu yang penting untuk membalas perbuatan khianat orang yang jahil, bahkan dek kejahilan mereka, hamba Ar-Rahman bertambah kesian terhadap mereka dan berdepan dengan mereka dengan sifat ‘salama’ yakni berlemah lembut.

Ya, saya tahu memang susah untuk kita mencapai sifat sesempurna itu namun tidak mustahil kerana tidak mungkin Allah Azza Wa Jalla mengajarkan hambaNya sifat-sifat Ibadurrahman jika Dia tahu kita tidak mampu, Dia yang mengenali kita melebihi diri kita sendiri maka yakinlah dengan Dia dan Dia tahu kita mampu menjadi Ibadurrahman (jika kita mahu). Pokok pangkalnya niat kita.

Wallahu’alam.

Itu sahaja inshaAllah serba ringkas pengisian yang dapat saya kongsikan kepada sahabat-sahabat sekalian. Tujuan saya hanyalah supaya menjadi ingatan kepada diri saya sendiri dan jika sahabat-sahabat mendapat manfaat daripadanya maka bersyukurlah kepada Allah Azza Wa Jalla yang menggerakkan hati sahabat-sahabat sekalian.


Ayat yang dibincangkan

Tuan Fazrul memberi pengisian



Wassalam =)


Comments

Popular Posts