Alhamdulillah, saya isteri dia.

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah diberi kesempatan waktu untuk menukilkan sedikit cebisan 'puzzle' hidup dalam blog ini. Tujuannya bukan untuk apa-apa, sekadar menjadi salah satu coretan terindah yang pernah berlaku dalam hidup. Semoga menjadi ingatan buat diri kelak andai terasa diuji kerana Allah pasti menguji. Tinggal 2 hari lagi maka genaplah 4 bulan bahtera perkahwinan saya dan zauj, Mukhlis. Cepat masa berlalu, terlalu pantas sedangkan saya sendiri tidak sempat berkongsi apa-apapun dalam catatan blog ini saat sebelum ijab qabul dan sejurus selepas ijab qabul. Masa terlalu pantas.

Namun kepantasan masa itu tidak berlalu begitu sahaja seperti hembusan bayu beredar, bahkan masih terasa baru sahaja semalam kami berta'aruf saat dia datang mengenalkan diri pada Februari 2014. Tidak kurang juga masih segar di ingatan saat sahabat-sahabat bertanya limpahan soalan bila jemputan ku hulurkan sebulan sebelum tarikh kami di-ijab qabul-kan. Soalan mereka seperti juga soalan yang sering ku tujukan pada sahabat-sahabat ku juga, macamana kenal? Macamana tahu dia jodoh kita? Orang mana? Beza umur berapa? Bila mula kawan? Dan pelbagai lagi. Penat melayan tapi ku layankan sajalah kerana saya juga begitu =)

Saya ceritakan kembali saat perkenalan saya dengan zauj bukan atas tujuan menunjuk-nunjuk. Namun, ia sebahagian memori terindah buat saya yang ingin saya abadikan di blog ini, blog peribadi saya, blog persendirian saya. Semoga, andai tiba saat diuji nanti, dan ketika itu saya membaca balik post ini maka saya akan jadi insan yang lebih bersyukur. Semoga ada manfaat juga buat yang sudi membaca. Saya tidak memaksa kalian membaca cerita ini kerana ini cerita biasa, cerita boring, tidak semua perkara saya ceritakan, sekadar yang boleh diceritakan untuk diambil pengajaran buat saya dan jika ada pengajaran buat kalian maka saya mampu mengucapkan Alhamdulillah. Sesungguhnya jodoh ini benar-benar dari Allah Azza Wa Jalla.

....


Saya kenal Mukhlis pada tahun 2012 di Sydney, Australia. Waktu tu saya sudah final year di Australia manakala dia pula baru ingin memulakan pengajian di sana. Seperti biasa, pelajar Malaysia Islam sentiasa buat gathering session bagi tujuan ukhwah sesama pelajar Malaysia jadi dari situ saya kenal dia. Kenal tapi tidak pernah bercakap, 'friend' di Facebook tapi tidak pernah bertegur sapa. Itu je. Ceritanya panjang jadi saya pendekkan, kami berkenalan dengan bantuan orang tengah. Ta'aruf pertama kami bermula di rumah saya pada 22 Februari 2014, Mukhlis datang bersama Ibu dan Bapanya (sekarang Abah dan Mama saya) ke rumah untuk berjumpa dengan Abah dan Ummi. Itu jugalah kali pertama kami bertemu (bersemuka) kembali yang mana kali terakhir kami berdua bersemuka adalah pada tahun 2012 di Australia, itupun tidak pernah bercakap dengannya dan berjumpa di tempat keramaian. Tidak sangka, bertemu lagi dengan dia dan kali ini tujuannya adalah untuk membina Baitul Muslim bersama. Perasaan? Hmmm

Dari tarikh itu, kami hanya berkomunikasi melalui Facebook Messenger yang turut disertai oleh orang tengah kami iaitu sepasang suami isteri yang amat saya percayai (thiqah). Tapi dalam tempoh itu pun kami sebenarnya tidak berkomunikasi langsung melainkan orang tengah kami yang bertanyakan soalan supaya kami saling mengenal. Kami tidak menyimpan nombor telefon masing-masing tapi kami mengambil nombor telefon keluarga kami, saya menyimpan nombor telefon ibunya (Mama sekarang) manakala Mukhlis pula menyimpan nombor telefon Abah saya (Abah dia juga sekarang). Perbincangan mengenai pertunangan banyak berlaku antara Abah saya dan dia manakala jika saya ingin bertanyakan soalan saya akan bertanya kepada ibunya. Sebulan sebelum tarikh pertunangan, barulah kami mula berhubung antara satu sama lain kerana merasakan ada keperluan untuk bertanya secara terus, tetapi masih menggunakan jaringan Facebook Messenger yang mana turut disertai oleh adik lelaki saya bagi tujuan menjaga batas ikhtilat. 

Kenapa banyak saya tegaskan di sini mengenai orang tengah? Adakah kerana kami ini orang baik-baik? Adakah kerana kami ini mulia? Tidak, tidak sama sekali! Satu perkara yang kami sentiasa sedar, kami berdua manusia biasa, kami bukan malaikat, kami bukan ustaz ustazah, apatah lagi para wali atau ulama. Kami orang biasa, belajar agama juga sekadar dengan menghadiri majlis ilmu bukan melalui pembelajaran khusus seperti orang yang mengambil sarjana. Maka kami sedar kami lemah, iman kami tidak sehebat para ulama apatah lagi para nabi, kami punya nafsu, suatu perkara normal untuk seorang lelaki tertarik kepada seorang wanita dan begitu juga sebaliknya, kami sekadar punyai sedikit kesedaran bahawa kami tidaklah mempunyai kekuatan iman untuk menolak tarikan nafsu saat kami yakin syaitan pasti berusaha akan melalaikan kami, justeru kami perlukan orang tengah supaya kami sentiasa berbicara sekadar perlu sahaja. Alhamdulillah Allah Azza Wa Jalla tetap menjadi pemudah cara kepada kami.

Kemudian kami bertunang pada 31 Mei 2014 yang dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja dan juga beberapa sahabat baik saya. Alhamdulillah. Tiada apa yang menarik tentang majlis pertunangan kami,  sederhana sahaja tetapi malu sebab keluarga belah tunang(waktu itu) ramai sangat dan semua mata tertumpu kepada saya saat nama saya dipanggil untuk keluar memperkenalkan diri..huhuhu. Majlis sederhana tapi meriah dengan keluarga. Alhamdulillah.

Hanya selepas kami selesai bertunang secara adat (kalau dalam Islam saat Ta'aruf lagi kami sudah dikira bertunang) barulah kami menyimpan nombor telefon masing-masing dan berhubung secara personal antara satu sama lain tanpa ada orang tengah. Alhamdulillah, mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehadiran orang tengah di setiap saluran komunikasi kami maka bila kami berkomunikasi secara berdua, kami masih merasa kehadiran orang tengah. Alhamdulillah, walaupun komunikasi berdua, perbincangan kami semata-mata berkisarkan mengenai perkara perkahwinan, tiada ucapan atau ungkapan seperti suami isteri kerana kami tahu kami masih dua entiti berbeza dan tidak mustahil jika perkahwinan tidak jadi (waktu itu) tapi Alhamdulillah jadi =) 

Kami juga tidak pernah bercakap dalam telefon sepanjang tempoh pertunangan, segala pertanyaan melalui message/whatssapp. Seingat saya, hanya sekali tunang saya telefon (telefon rumah) tu pun cakap "Assalamualaikum Adilah, mitok mesej nombor i/c deh" dan saya cakap "ok". Tu pun sebab dia perlukan nombor i/c saya urgent dan ketika itu saya tak tertengok handphone di mana dia sudah menghantar mesej minta nombor kad pengenalan sebelum menelefon saya.

Alhamdulillah, pada 14hb September 2014, kami diijab qabulkan oleh Abah saya sendiri, Abah memang begitu sentiasa ingin buat yang terbaik untuk anak-anaknya. Saya bersyukur kerana Abah sendiri yang mengahwinkan saya dengan Mukhlis. Alhamdulillah.

Dan tak lama lagi, genap 4 bulan usia perkahwinan kami, masih baru, masih awal untuk kami mengucapkan kami bahagia bersama. Masih banyak perkara yang saya tidak tahu tentang dia dan begitulah sebaliknya, masih belum diuji dan jika diuji semoga ujian itu menjadikan kami makin kuat bersama. Namun, tetap saya bersyukur untuk apa yang Allah berikan sehingga ke hari ini. 

Sehingga ke saat ini, apa yang saya mampu ucapkan, Alhamdulillah, saya isteri dia.

Ni gambar masa tunjuk kat Abah...hehe

Akad nikah









Comments

Popular Posts