Bila Allah kata Kun!


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.


Aku percaya bahawa tiada salahnya untuk meminta sesuatu yang kita tidak punya. Itu bukan petanda bahawa kita tidak bersyukur. Bahkan itulah yang disarankan oleh Allah Azza Wa Jalla untuk kita perbuat:

"Berdoalah kepadaKu, 
nescaya akan Aku perkenankan bagimu. 
Sesungguhnya orang yang sombong tidak mahu menyembahKu 
akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina."

Ghafir : 60

Memohon sesuatu dariNya adalah bukti keyakinan bahawa kita sedar semua perkara kita tidak mampu perbuat tanpaNya. Dan tidak meminta dariNya adalah salah satu sifat yang mungkin menjurus kepada terbitnya sifat sombong dalam diri kita dan merasa tidak perlu akan pertolongan Dia (tapi hakikatnya kita perlu).

Tetapi perlu sedar, dalam meminta pertolonganNya perlulah bertertib. Jangan lupa sebelum mahukan sesuatu syukuri dahulu yang telah diberikan, bahkan kebanyakkan pemberianNya adalah tanpa diminta tetapi itulah yang kita perlukan dalam hidup kita. Jangan meronta-ronta andai kehendak masih belum tertunai, berhusnuzhonlah denganNya sentiasa.
Sedarlah bahawa Dia Maha Kaya dan kita pula tidak punya daya. 

Kita ibarat meminta gaji berjuta tapi kerja juga masih tidak amanah, tidak ikhlas atau tidak bersungguh-sungguh. Begitulah kita seringkali perlakukan diri dihadapanNya.
Tidak malu meminta kemudian bertempikan saat yang dihajat tidak ditunaikan.
Berusahalah mendapat tempat di 'hati' Nya.
Ya. Boleh sahaja tanpa kita usaha keras pun Dia mampu bagi apa yang kita kehendakkan hanya dengan lafaz 'Kun':

"Dialah yang menghidupkan dan mematikan. 
Maka apabila Dia hendak menetapkan sesuatu urusan, 
Dia hanya berkata kepadanya: Jadilah! (Kun!) 
Maka jadilah sesuatu itu.

Ghafir : 68

Namun awas! 
Takutlah wahai hati! Andai diberi nikmat saat kita berasa megah dengan nikmat yang diberi, dibimbangi Allah sedang menghamburkan kita dalam istidraj yang digeruni. 
Pokok pangkalnya, bersyukurlah dengan segala apa yang dimiliki, kerana setiap apa yang kita sudah punya inilah nikmat yang lebih kita perlukan dan patut disyukuri. 
Yakinlah! Dengan makin syukur maka Allah Azza Wa Jalla akan menambah nikmat kita walaupun tanpa diminta:

"Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan: 
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, 
Kami pasti akan menambah (nikmat) kepadamu, 
dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), 
maka sesungguhnya azabKu sangat pedih."

Ibrahim : 7

Beginilah cara aku memperingatkan diriku, supaya tidak berasa kurang dengan hidupku.
Alhamdulillah Aku gembira dengan apa yang telah dikurnia.
Allah Azza Wa Jalla sedang mengaturkan yang terbaik untuk perjalanan hidupku 
terutamanya dalam konteks aku sebagai hamba.
Dan Alhamdulillah dengan nikmat yang masih tersimpan buatku olehNya.
Bila ada yang bertanya tentang nikmat yang tersimpan itu, 
Jawapan ku kini mudah - Bila Allah kata Kun! InshaAllah Fayakun.
Kerana asal kejadiannya, tiada satu pun milik aku.

Alhamdulillah...

=)







Comments

Popular Posts