Epistemologi Ilmu - Ilmu dalam Islam

Bismillahirrahmanirrahim

Usai berakhir kelas Tasawwur Islam yang disampaikan oleh Ustazah Qurratu 'Ain di APSA, banyak yang aku fikirkan mengenai ilmu yang baru diperolehi. Tidak ingin ilmu itu sekadar bermain di minda kemudian hilang jadi aku tuliskan notaku di sini buat ingatan. Ianya bermanfaat untukku, semoga yang sudi membaca juga peroleh manfaat.

...

Apa itu epistemologi ilmu?

Ia bermaksud ilmu mengenai mengenai ilmu. Dalam erti kata lain, memahami hakikat sebenar 'ilmu' itu sendiri. Dalam mengetahui hakikat ilmu dari sudut pandangan barat, tidak dilupa juga epistemologi ilmu dari pandangan Islam atau boleh juga jika saya katakan dari pandangan yang lebih tepat.

Dalam pandangan barat, ilmu atau 'Knowledge' merujuk kepada kefahaman manusia terhadap sesuatu perkata, yang mana ia merupakan kefahaman yang sistematik dan diusahakan secara sedar. Umumnya, ilmu mempunyai potensi untuk dimanfaatkan demi kebaikan manusia. Ilmu juga diperolehi hasilnya melalui kajian dan ilmu itu sendiri juga boleh dikaji. Kajian mengenai ilmu adalah epistemologi atau dikenali juga sebagai sains maklumat dalam dunia kepustakawanan.

Berlainan sedikit konsep ilmu dalam Islam (tidak tertakluk kepada ilmu berkaitan agama sahaja), 'Ilmu' merupakan pemahaman bermakna ataupun sesuatu yang memberikan makna kepada diri individu apabila datangnya sesuatu sumber maklumat yang dikatakan berkaitan dengan sesuatu kajian  ataupun memerlukan kefahaman. Ilmu berbeza dengan maklumat iaitu sesuatu maklumat tidak bermakna jika tidak dapat dijadikan makna atau mendatangkan makna kepada seseorang.
Contohnya, binary code tidak bermakna apa-apa sekiranya tidak dirangkumkan menjadi perisian di dalam komputer.

Dalam erti yang berbeza, ilmu yang difahami barat bersifat sistematik dan ianya mesti diusahakan untuk mendapatkannya. Kita juga difahamkan bahawa ilmu itu letaknya di otak, di dalam kotak fikiran kita di kepala. Berlainan dengan konsep Ilmu dalam Islam, Ilmu itu sesuatu yang memberikan makna kepada individu ataupun bahasa mudahnya kefahaman (Al-Fahmu) dan kefahaman itu letaknya di hati. 

Ya, di HATI.

Kerana itulah, ilmu dalam Islam terletak di dada (di hati) dan bukan di otak. Memahami hakikat ini barulah kita jadi mengerti akan perbezaan orang yang belajar agama dan orang yang faham agama. Malah, dalam Al-Quran, Allah Azza Wa Jalla menyebut sebanyak 49 kali perkataan 'berfikir'  bersama dengan perkataan yang  bermaksud 'di hati'. [antara ayat untuk dirujuk: Ali Imran: 65 dan 118, Al Baqarah: 219 dan 266, Al An'am: 50 dan Al Rum: 21].

Dalam surah Al- A'raf ayat 179, Allah Azza Wa Jalla menyebut dengan jelas tentang mereka yang mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat - ayat Allah. Kembali kepada makna ilmu (dalam Islam) tadi yang menerangkan tentang definisi ilmu adalah pemahaman dan Allah menyuruh menggunakan hati untuk berfikir(memahami) dan bukan otak/akal.

Di sinilah kekuatan penguasaan ilmu sebenar oleh umat Islam, Islam adalah satu-satunya agama yang sentiasa menyarankan ahlinya berfikir dan tidak sekadar menjadi pengikut dan dengan mengetahui hakikat ini sahaja kita sebenarnya telah terbebas dari belenggu penjajahan minda yang mengatakan Islam itu mundur, Islam itu tidak relevan dengan peredaran semasa, Islam itu jumud dan sebagainya.

Ilmu adalah cahaya, dengan cahaya jelaslah penglihatan(hati) kita dan terbentanglah jalan menuju syurga Allah. Namun awas! Cahaya Allah tidak akan masuk ke dalam hati orang yang berbuat maksiat. Iman Syafi'e menukilkan syarat untuk memperoleh ilmu adalah dengan empat syarat.
Pertama, akal yang cerdik iaitu dengan menjaga pemakanan (menjauhi yang haram dan syubhah) serta menjauhi maksiat. Kedua, bersungguh-sungguh. Ketiga, punyai keinginan dan kehendak untuk memperolehi ilmu. Keempat, mestilah berkemampuan dari sudut harta, namun tidak bermaksud menunggu hingga kaya, tetapi mempunyai daya memperoleh harta bagi mendapatkan ilmu.

Rasanya, cukuplah sekadar ini dahulu tentang apa yang difahami tentang epistemologi ilmu, aku yakin masih banyak lagi yang tidak aku terokai dan tidak ketahui. Semakin aku dalami semakin aku merasa banyak yang aku tidak tahu. SubhanAllah betapa luasnya Ilmu-Mu Ya Allah dan setiap kali itulah aku merasa makin kerdil dan makin tidak berdaya di hadapanMu Ya Allah.

Wallahu'alam.

Comments

Popular Posts