Saat mula



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh

Sebenarnya dari dahulu lagi saya nak kongsi tentang tajuk harini tapi sentiasa tertangguh samada sibuk atau merasakan takde feel nak menulis. InshaAllah harini saya kongsi memandangkan memang ada beberapa sahabat yang berani bertanya saya kenapa saya memilih untuk berpurdah. Dalam post kali ni saya akan cerita perjalanan kali pertama saya mengenakan purdah/niqab.

Pertama sekali sebagai disclaimer saya BUKAN full-time niqabis ye. Saya berpurdah pada waktu dan keadaan-keadaan tertentu sahaja. Kenapa? Nanti saya jawab yang tu lain kali.

Pada awalnya saya memang tidak berminat atau tak pernah terlintas langsung akan sehelai kain kecil penutup wajah ni. Semuanya bermula dengan seorang senior TESL di IPG yang berpurdah. Ketika itu dia dalam tahun akhir di IPG setelah 2-3 tahun buat twinning program dengan UUM Sintok. Dia pulang ke IPG sebagai pelajar tahun akhir. Terlintas di fikiran saya ketika itu, bagaimana seorang yang mengambil jurusan bahasa Inggeris boleh berpurdah? Pada hemah saya ketika itu hanya yang berjurusan agama sahaja yang berpurdah. Saya fikir pasti dia dari keluarga agamawan. Semuanya bermula dengan persoalan-persoalan yang sangat banyak namun saya tidak pernah bertanyakan hal purdah kepada beliau. Sekadar bermain dan bersarang di fikiran saya sahaja.

Bolehkah budak tesl pakai purdah? Kefahaman yang bagaimana membuatkan kita boleh berpurdah? Orang pakai purdah ni sebab apa? Takkan setakat malu sahaja dah bolehkan kita berpurdah? Ahh terlalu banyak persoalan waktu tuh!

Disebabkan saya ni seorang yang 'sombong' nak bertanya jadi mula dari situ saya mulai google tentang purdah, membaca buku tentang purdah dan hukum-hukumnya. Konklusinya, waktu tu saya bukan golongan yang layak berpurdah pun. Namun tanpa saya sedar minat mengenai purdah mula tertanam. Kadang, saya sering berangan saya memakai purdah, jika tiada roomate saya akan ambik sehelai kain dan acah-acah buat gaya berpurdah.

Dari tahun 2010 sehingga 2012 saya memendam keinginan dan sentiasa menambah ilmu agama untuk tujuan penghijrahan diri ke arah lebih baik. Dalam tempoh itu jugalah saya mula mengenakan tudung labuh bidang 60 (sebelum ini saya pakai bidang 45/50 sahaja) dan mula memakai inner sehingga menutup bahagian dagu sedangkan saat itu tidak wujud lagi tudung atau inner yang berdagu seperti sekarang. Waktu itu pun dah ada yang bertanya kenapa saya menutup bahagian bawah dagu saya namun saya menjawab sekadar nak lari dari khilaf tentang aurat bawah dagu dan tidak mengatakan bahawa yang nampak dagu itu salah. Isu khilaf tak perlu pening, tak perlu gaduh. Saat itu bab menjaga aurat menjadi keutamaan dalam diri saya, dari berseluar saya bertukar kepada skirt, saya jarang dah pakai seluar pada tahun 2012. Namun tidaklah saya mengatakan salah untuk muslimah berseluar, tiada masalah selagi yakin kita menutup aurat dengan sempurna.

Semuanya datang dengan sendiri, tiada paksaan dari sesiapapun padahal sebelum ni di kampung, Ummi dan Mok(baca: nenek) sangat tak suka saya berseluar, tak kesahlah seluar slack ke, jeans lagilah kan. Memang mereka tak berkenan. Namun alhamdulillah berkat doa mereka saya dengan rela hati beralih angin. Setelah perubahan-perubahan kecil inilah datang perasaan saya untuk cuba berpurdah pula namun hati saya sangat takut. Takut akan reaksi orang dan kawan-kawan saya. Bimbang mereka malu nak berkawan dengan saya, bimbang mereka merasa saya dah terlebih alim dan tidak boleh dibuat bergurau, bimbang reaksi Ummi Abah macamana (sebab tiada dalam sejarah lagi keluarga kami, sepupu atau sanak saudara terdekat yang berpurdah). Waktu tu hanya Allah sahaja tahu bertapa dilema nya saya. Antara kuatnya gerak hati untuk berpurdah dan pandangan manusia sekeliling.

Saya berdoa dan mengadu resah hati ini pada Allah sehingga ada ketika saya menangis kerana saya terlalu memikirkan pandangan manusia dari pandangan Allah. Ya, saya berpegang pada hukum sunat berpurdah jadi tidaklah bermaksud saya keras terhadap diri saya untuk berpurdah. Sebelum sampai tahap untuk tekad berpurdah itu banyak yang saya pelajari samada secara maya atau secara bertanya pada ahli agama sendiri. Bagi saya berpurdah adalah salah satu keputusan yang sukar kerana purdah itu membawa identiti dan tanggungjawabnya yang tersendiri. Memakainya bermakna saya menerima tanggungjawab untuk menjaga kesuciannya dan tidak menimbulkan fitnah atasnya. Namun, keinginan hati ini yang merasakan sangat ingin cuba berpurdah menguatkan azam saya.

Bermulalah detik kali pertama pada tahun 2012, waktu tu ada program tarbiyyah di Newcastle, Australia. Saya nekad mahu berpurdah sepanjang program. Sebelum berangkat ke tempat program, bulatan gembira antara ahli usrah dibuat, waktu tu saya beritahu sahabar-sahabat saya tentang keinginan saya nak meminta mereka untuk menyokong saya ke arah perubahan ini. Mereka menyambut baik keinginan saya. Maka, bermulalah hari pertama di luar negara saya mula memakai purdah. Perasaan? Ya Allah, hanya Dia yang tahu rasa waktu tu. Sangat tenang, minda rasa sangat clear waktu itu. Perasaan yang saya hanya mampu sebut "Alhamdulillah".




Comments

  1. Andai sis tidak keberatan, sudilah kira nya sis menjadi sahabat dunia akhirat. Ctc sy di no sy ini..0124382348 (niqabis coming soon)

    ReplyDelete
  2. Sis, saya nak tanya boleh ke kat ipg nak pakai purdah?? Sebelum saya masuk ipg, saya mmg dah teringin nak pakai purdah, tapi lps masuk ipg, ada org ckp tak leh pakai atas sbb tertentu😔...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts