Surat untuk Allah #1

Duhai Allah,

Tahun ini sudah masuk tahun kelima aku berkhidmat sebagai guru. Aku mengajar Bahasa Inggeris. Aku punyai mengalaman mengajar darjah 2, 3, 4, 5, 6. Tahun ini aku mengajar Tahun 6 dan Tahun 2. Tahun 6 mungkin tidak menjadi masalah bagiku kerana mereka sudah memahami arahanku namun tidak bagi Tahun 2. Mereka  kadang-kadang benar-benar menguji kesabaranku dan harini sekali lagi aku tewas menahan imarahku. Setiap kali sesi pembelajaran tamat pasti akan datang segala perasaan penyesalan dan hari ini penyelasan itu datang bersama air mata.

Kenapa aku garang sangat Ya Allah? Kenapa aku susah menahan amarahku? Sedangkan kesalahan mereka bukannya suatu dosa, malah mereka sendiri tiada menanggung dosa seperti aku yang sudah baligh dan dewasa. Seperti biasa mereka masuk ke kelas dan aku meminta mereka membuka buku teks mereka. Semalam telah aku ingatkan kepada mereka supaya membawa buku teks Bahasa Inggeris setiap hari kerana waktu BI ada setiap hari (kecuali cuti). Namun, tetap ada yang 'terlupa' membawa buku teks malah mereka adalah orang yang sama. Oleh kerana pesanan sudah diberikan hampir setiap hari namun pesananku sekadar angin lalu sahaja buat mereka. Mereka tertinggal buku lagi hari ini.

Aku jadi benar-benar geram dan marah. Lalu aku memarahi mereka walaupun aku amat bencikan kemarahan. Bila marah kita bukan kita, kita jadi 'hilang akal' tapi bukanlah sehingga menggila. Mukaku masam dan berkerut, tiada senyum lagi dan peti suaraku meninggi seperti petir. Ya, aku benci diriku saat marah kerana aku tahu marah tidak mengubah apa - apa. Marah tidak menyelesaikan masalah malah marah hanya 'menumpulkan' tumpuan mereka terhadap pelajaran yang kita ingin sampaikan. Aku tahu semua itu kerana aku seorang guru dan aku membaca.

Aku sedar mereka lebih mulia dari aku. Buku catatan amalan mereka lebih bersih dari buku amalanku. Bahkan mereka tiada langsung dosa namun aku pasti telah dicatat panjang oleh malaikat. Walau bagaimana dasyat pun kelakukan mereka tetap mereka masih memegang gelaran penghuni syurga sedangkan aku belum tentu lagi akhirnya dimana. Semoga aku juga ke syurga. Amin.

Duhai Allah,

Aku pohon supaya Engkau 'diamkan' aku saat aku mulai marah, 'Istighfarkan' aku saat aku mulai marah dan tenangkan aku supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan mereka.

Terima kasih Allah kerana sudi 'membaca' suratku ini.




















Yang MencintaiMu,
Adilalmi

Wednesday . 200219 . 8.34pm

Comments

Popular Posts